Menuju kemenangan yang semakin hampir

- Advertisement -

LUMUT: Kejayaan perjuangan hingga akhirnya memperolehi kurniaan syurga atau kemenangan di dunia menuntut pembuktian menerusi gerak kerja jihad dan kesabaran.

- Advertisement -

Mesej tersebut dipertegaskan Pemangku Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria mengupas ayat 142 surah Ali Imran pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lumut, semalam.

Katanya, kepada orang beriman disediakan syurga dunia dan syurga akhirat di mana Allah mahu pengorbanan dan kesungguhan tersebut terlebih dahulu dizahirkan sebelum kurniaan kejayaan.

Ujar beliau, Allah juga akan menguji kesabaran dalam menghadapi ujian sebagaimana ketika ini PAS sedang dihujani tohmahan dan ancaman yang turut dapat dilihat semasa PRK Semenyih.

“Presiden PAS dalam apa jua pertemuan sentiasa menekankan ahli mesti memberi wala’ sepenuhnya kepada pimpinan walaupun keputusan dibuat bercanggah dengan kehendak ahli.

“Dan sekalipun ahli tidak setuju. Mereka sebagai pemimpin lebih tahu apa yang terbaik buat PAS,” kemuka beliau pada majlis di Kompleks Pendidikan At-Taalim, di sini.

Ustaz Ibrahim turut menghurai tiga perkara di dalam wala’ iaitu adanya mahabbah yakni kasih sayang kepada pimpinan dan an-nasru iaitu bersama membantu untuk jayakan keputusan.

Manakala ketiga terangnya, adalah baiah dengan memberi sokongan padu tidak berbelah bagi sebagaimana dalam banyak peristiwa sirah yang ditekankan Baginda Nabi S.A.W sendiri.

“Jangan menyangka kalian akan masuk syurga dengan santai, dengan hanya mengaku beriman, tanpa ada ujian atau cubaan melalui peperangan, tanpa keadaan-keadaan yang susah dan tanpa beban-beban berat di jalan Allah.

“Kalian akan dapat masuk syurga setelah diuji dan Allah melihat di antara kalian ada orang-orang yang berjihad di jalan-Nya, dan bersabar dalam melawan musuh-musuh-Nya,” ujarnya memetik kata-kata memotivasikan. – HARAKAHDAILY 18/3/2019

- Advertisement -