Mantapkan rohani rempuh cabaran perjuangan

- Advertisement -
BAYAN LEPAS: Berbagai ujian di dalam perjuangan menuntut persediaan merempuhnya sebagai cabaran dengan memantapkan kekuatan rohani diri, demikian menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.
 
Peringatan tersebut ditegaskan beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Zon Pulau melibatkan enam PAS Kawasan di Dewan Balai Raya Sungai Ara, di sini semalam.
 
Antara penzahiran kekuatan rohani itu terangnya, adalah dengan membanyakkan rasa syukur kerana diizinkan Allah untuk istiqamah di dalam perjuangan biarpun berdepan berbagai gelombang.
 
“Berada di dalam jamaah bukan suatu perkara yang mudah, tetapi perlukan tarbiyah. Sebab itu PAS menekankan tarbiyah. Jika kita tidak menghayati tarbiyah, nescaya tidak mampu menggalas amanah perjuangan.
 
“Caranya, dengan kita mendekatkan diri kepada Allah, menjadi diri yang berbeza dengan masyarakat awam di luar sana. Menjadi ahli yang menghidupkan malam, bermunajat kepada Allah.
 
“Dirikan solat malam walaupun dua rakaat. Merayu dan memohon kekuatan daripada Allah,” serunya dihadapan membimbing seluruh perwakilan.
 
Menurutnya lagi, tugas selaku ahli PAS sangat besar terutama menggalas tanggungjawab dakwah sebagaimana yang telah dipikul para Nabi dan Rasul serta generasi terdahulu.
 
Katanya, jika Nabi dan para Sahabat R.A mengambil kekuatan dengan qiyamullail dan qiraatul Quran, maka ahli gerakan Islam juga mesti mengambil kekuatan seumpama sebagaimana seruan ayat 6 surah Muzammil.
 
Antara Yang DiPertua PAS Kawasan yang hadir adalah Bayan Baru, Iszuree Ibrahim; Bukit Gelugor, Mazlan Pawanchik; Bukit Bendera, Abdul Halim Salleh; Jelutong, Ustaz Imran Saad dan Tanjong, Yaacob Omar. – HARAKAHDAILY 18/3/2019
- Advertisement -