Projek PSR ancam warga, hasil laut dan pantai

- Advertisement -

BALIK PULAU: Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) disifatkan bakal mendatangkan banyak kesan negatif melibatkan kerja-kerja penebusgunaan tanah dan pengorekan pasir bagi pembinaan tiga pulau buatan, di sini.

- Advertisement -

Projek super mega yang akan turut dibangunkan bersama kediaman mewah dan jajaran rangkaian sistem pengangkutan dilihat lebih mesra golongan korporat berbanding kepentingan rakyat kebanyakan di dalam pulau tersebut.

Melibatkan keluasan 4,500 ekar dengan jangka masa tebusguna selama 15 tahun serta penggunaan 189,100,000 meter padu tanah dan pasir, selain pelupusan dan pembuangan 6,900,000 meter padu sisa korekan.

Pengetahuan yang ada berkaitan projek seumpama telah menyaksikan ‘pengalaman’ kemusnahan ekosistem alam semulajadi terutamanya laut dan pantai melibatkan hasil perikanan, terumbu karang serta hutan kayu bakau.

Tidak sedikit akan terjejas juga adalah kehidupan yang mendiami di sekitarnya melibatkan para penduduk termasuk golongan nelayan penghuni di pulau-pulau kecil dan persisiran pantai oleh ancaman hakisan dan ombak.

Menurut Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia, projek PSR tersebut akan mengancam 6,516 nelayan dengan lebih 26,000 isi rumah yang merupakan penduduk di pulau ini dan Daerah Kerian, Perak.

Impak kemusnahan

Setiausaha Jaring, Azrilnizam Omar berkata, kawasan pengambilan pasir akan melibatkan 7 batu dan 20 batu nautika dari Muka Head dan Kuala Kurau, Perak, manakala kawasan pembuangan sisa adalah di 11 batu nautika dari Pulau Kendi.

Dedah beliau, impak daripada pelaksanaan projek tersebut akan mengganggu kawasan habitat marin dan menjejaskan sumber perikanan negara, sekali gus akan turut mengancam keselamatan makanan negara.

Jelasnya, kawasan tangkapan nelayan menjadi semakin mengecil dan akan berlakunya konflik antara golongan tersebut dengan kapal dan tongkang, selain aset perikanan mereka juga terdedah kepada kerosakan dan seumpamanya.

Beliau juga membentangkan data Jabatan Perikanan bahawa sebanyak 60 pendaratan penyu direkodkan tahun 2015 termasuk Penyu Lipas di Teluk Kumbar, namun habitat tersebut pasti terganggu oleh projek PSR.

Lebih menggusarkan kemukanya, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) melaporkan kerosakan dan pelunturan liputan terumbu karang dengan tahap kesihatan sederhana memuaskan iaitu kurang 30 peratus di Pulau Kendi dan kurang 5 peratus di Pulau Rimau.

Selain perubahan pola arus laut dan geografi pantai, projek itu juga diyakini beliau bakal mencemarkan laut disebabkan pepejal terampai yang melimpah atau terbocor sepanjang pengangkutan antara tapak pengorekan dan pelupusan. – HARAKAHDAILY 16/3/2019

 

Screenshot 20190316 1414332

 IMG 20190316 WA0011

- Advertisement -