Kerajaan perlu isytihar darurat di Pasir Gudang

- Advertisement -
SELURUH rakyat Malaysia merasa bersedih di atas tragedi yang menimpa penduduk Pasir Gudang, Johor yang berpunca daripada pencemaran bahan kimia toksik di Sungai Kim Kim. Penyiasatan masih dijalankan dan kita berharap mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengharapkan agar pihak kerajaan dapat memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan melibatkan agensi yang pakar di dalam bidang CBRNE (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosive) agar tragedi ini dapat ditangani dengan lebih efektif bagi memastikan tragedi sebegini tidak berulang. 
 
Melihat senario semasa, DPPM mendesak pihak kerajaan agar membuat perisytiharan darurat secara segera kerana keadaan sekarang telah melibatkan ancaman nyawa penduduk. Inilah antara fokus utama yang mesti diutamakan sekarang ini.
 
Cukuplah kesedihan kita melihat kesakitan mangsa tercungap-cungap menarik nafas sehingga menggeletar tangan kesan daripada terhidu kimia beracun ini. Usah biarkan peristiwa ngeri ini berulang di tempat yang lain.
 
DPPM telah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun ke lokasi bagi sama-sama membantu agensi-agensi Kerajaan* dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat. Sebanyak empat stesen kawalan dan bantuan di kawasan terbabit telah pun diwujudkan.
 
DPPM juga mengarahkan Dewan Pemuda PAS Negeri-Negeri dan Kawasan untuk melakukan solat Hajat pada malam ini dan selepas solat Jumaat esok di seluruh Negara agar dimudahkan segala usaha menyelamat dan mengawal situasi di sana serta diberikan kesabaran dan kerahmatan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka. 
 
Sekian, terima kasih.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 14/3/2019
- Advertisement -