Empat petugas Harakah bergegas ke Pasir Gudang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Empat petugas editorial Harakah berangkat ke Pasir Gudang malam ini bagi mendapatkan liputan penuh isu pencemaran sisa kimia di Sungai Sim Sim di sana yang telah menyebabkan lebih 500 mangsa kini ditahan wad.

- Advertisement -

Misi diketuai Pengarang Ruang Bahasa Inggeris, Hirman Firdaus Abdul Rahim, wartawan senior Nur Hasmira Mohammad, wartawan Syahirah Salleh dan Nur Ain Manaf.

Mereka dijangka tiba menjelang pagi, dan misi tinjauan awal ini bagi mendapatkan keadaan terkini secara langsung mengenai pencemaran dan proses pendakwaan ke atas pihak yang bertanggungjawab menjadi punca kepada bencana ketika ini.

Hirman Firdaus selaku ketua misi memiliki pengalaman luas dalam pasukan bantuan kecemasan akan mengendali pasukan tersebut dengan bantuan dari Jabatan Amal Johor, PAS Johor dan Khidmat Malaysia Negeri Johor.

Situasi terkini berhubung pencemaran udara akibat sisa pembuangan bahan kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang semakin teruk.

Difahamkan semua sekolah di Pasir Gudang diarah tutup serta-merta hari ini berikutan situasi yang dilihat semakin kritikal susulan pencemaran toksik sejak Khamis lalu.

Angka mangsa yang terlibat setakat ini mencecah 566 orang, sehingga jam 7 petang tadi seramai enam mangsa menerima rawatan kritikal manakala selebihnya ditahan wad.

Pada 10 Mac lalu, satu jawatankuasa menangani pencemaran Sungai Kim Kim telah ditubuhkan melibatkan beberapa agensi kerajaan.

Laporan mendedahkan, Jabatan Kimia telah mengenal pasti bahawa bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim boleh menjejaskan kesihatan secara toksik yang boleh merosakkan organ tubuh dan menyebabkan kanser.

Media tempatan melaporkan, pihak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran akan dihadapkan ke mahkamah esok. – HARAKAHDAILY 13/3/2019

- Advertisement -