Semangat ‘voice message’ terakhir dengan Ustaz Tholiban

- Advertisement -

“KAMI dapat semangat baru ni Wan, kita lawan kuffar habis-habisan, takbirr, takbirr,” mesej Almarhum Ustaz Tholiban@Ustaz Nor Azli Musa dengan penulis dua minggu berlalu sebelum pemergiannya menghadap Sang Pencipta.

- Advertisement -

Saya membelek-belek semula WhatsApp saya bersama Ustaz Tholiban, hanya airmata sahaja bergenang tak henti-henti, demam saya tidak kebah sejak dua hari, badan lesu dan longlai bila usai subuh pada 12 Mac, terbaca mesej dari Ustaz Misbahul Munir Masduki dalam grup AJK Lajnah Penerangan PAS Pusat yang menyatakan Ustaz Tholiban telah pergi.

Saya seolah-olah tidak percaya akan khabar berita itu, lantas saya melontarkan pesanan suara kepada Ustaz Wan Hairul Anuar, setiausaha kehormat Geng Ustaz, sahabat karib Ustaz Tholiban, bertanyakan pengesahan.

Sungguh, Allah sangat menyayangi Ustaz Tholiban, almarhum meninggal di Madinah, tempat yang dijanjikan kemuliaan bagi yang pergi tak kembali di tanah itu.

Dalil mengenai keutamaan meninggal di kota Madinah. Dalam hadith dari Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Siapa yang boleh memilih mati di Madinah, maka lakukanlah. Kerana aku akan memberi syafaat bagi mereka yang mati di Madinah.” (HR. Ahmad 5437, Turmudzi 4296 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth)

Demikian dalil mengenai memilih mati di Madinah Al Munawwarah.

Ustaz Tholiban insan yang cukup sederhana sifatnya, bas menjadi alat utama perjalanannya beraksi di medan dakwah.

Almarhum kerap kali berulang alik Ipoh ke Kuala Lumpur dengan bas, terkadang sahaja dengan kereta.

Watak sederhana pemilik nama Nor Azli Musa ini Presiden GU yang cukup cintakan ulama, malah cukup cakna bab kebajikan sahabat-sahabat sementelahan pula almarhum semasa hayatnya pernah memegang jawatan dalam Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Kami warga Harakah acap kali dibantunya, sama ada wang ringgit mahupun apa sahaja. Saya saksi akan kebaikannya semasa hayatnya.

Almarhum mudah didekati, tidak lokek idea dan pengalaman. Sama ada semasa bergelar Exco Pemuda PAS Pusat sezaman Ustaz Misbah, Ustaz Idris Ahmad dan lain-lain, almarhum seorang pemimpin yang mendekati mereka yang di bawah ini.

“Allah…sheikh lama tak jumpa, anta sihat Wan,” almarhum memeluk saya ketika satu majlis bersama almarhum sebelum Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu.

“Wan walau lelah bawa cabaran menegak media rasmi PAS ini, anta kena kuat ya Wan, insya-Allah mana terdaya ana bantu,” acap kali azimat ini dileterkan ke telinga saya tatkala saya mengadu lemah dan berat memikul tanggungjawab selaku Ketua Pengarang, apatah lagi dalam dunia media hari ini semakin laju bergerak.

Dia tidak pernah berlakon dalam keramahannya. Tiap kali wartawan menelefon atau berwhatsapp dengannya, pasti dibalasnya.

Apa sahaja isu yang wartawan minta dia ulas, pastinya dia tidak akan mengecewakan.

Terakhir isu penghinaan ke atas Rasulullah S.A.W di mana sebaik penulis berwhatsapp dengan Ustaz Wan Hairul bertanyakan kenyataan media GU mengenai isu itu, lantas Presiden GU mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk kebebalan individu yang menghina Rasulullah S.A.W dan dalam himpunan aman, beliau menjadi front liner kepada himpunan mengecam penghina Rasulullah. S.A.W.

Dia adalah insan hebat, walau difitnah pelbagai pihak, tetapi dia berdiri kukuh bersama perjuangan PAS dan meletakkan batang tubuhnya sebagai galang ganti perjuangan Islam di muka bumi Malaysia ini. Walau tidak berjawatan, namun dia buat kerja demi menegak agama Islam.

Khidmat kebajikannya bukan sekadar bermain di dalam negara, malahan menjalar ke luar negara.

Dia insan yang terpilih, pergi di tanah Madinah, tanah yang dijanjikan kemuliaan buat yang berniat mahu dan pergi menemui-Nya di tanah ini.

Sahabatku Akan Ku Teruskan Pejuangan Ini, Walau Ku Tahu Kau Tiada Di Sisi…

Sudah Ditakdirkan Kau Pergi Dulu
Di Saat Kau Masih Diperlukan
Tuhan Lebih Menyayangi Dirimu
Ku Pasrah Di Atas Kehendak Yang Esa.

Ya Allah Tempatkannya di Tempat Yang Mulia.
Tempat Yang Dikau Janjikan Buat Hambamu…

Ya Allah, Kami Saksi kebajikan, kebaikannya, Ya Allah kurniakanlah syurga buat insan ini untuk selamanya di alam abadi.

Al-Fafihah… – HARAKAHDAILY 12/3/2019

- Advertisement -