Lebih 4,000 hartanah sempena Mapex 2019

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang Melayu bukan anak Kelantan berpeluang memiliki hartanah di negeri ini sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

- Advertisement -

Pengerusi Penganjur Pameran Hartanah Malaysia (Mapex) 2019 Kelantan Dato’ Samsuri Awang Mat berkata, kemudahan itu boleh diperolehi menerusi ekspo Mapex.

Ekspo berkenaan akan diadakan 28 hingga 30 Mac ini bertempat di ruang legar KB Mall, Kota Bharu.

Katanya, bukan anak Kelantan tidak perlu mendapat kelulusan Exco kerajaan negeri bagi memiliki rumah di negeri tersebut sebagaimana lazimnya.

“Syarat yang ditetapkan seperti berkahwin dengan orang peranakan Kelantan atau bekerja dengan kerajaan atau agensi kerajaan di negeri tersebut.

“Atau ada pertalian mengikut waris terdekat sebagaimana Pekeliling PTG 4/94 dengan orang peranakan Kelantan,” katanya di sini.

Menurutnya kerajaan negeri memberi kelonggaran tersebut. Insentif lain juga disediakan kepada pembeli rumah kali pertama iaitu pengecualian bayaran pindah milik pertama.

Pameran tersebut dijangka dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.

Samsuri yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan berkata, tahun ini Mapex Kelantan digabungkan dengan Home Ownership Campaign (HOC) 2019.

Katanya, sehingga sekarang 17 pemaju berlesen mengesahkan penyertaan yang menawarkan lebih 4,000 hartanah pelbagai jenis.

Pameran tersebut juga merupakan platform bakal pembeli menemui pemaju, pembiaya dan pakar-pakar hartanah. – HARAKAHDAILY 11/3/2019

- Advertisement -