Hantar pulang aktivis pada rejim langgar HAM

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kekesalan dan mengambil perhatian serius terhadap tindakan kerajaan Malaysia melakukan penangkapan dan penghantaran pulang beberapa orang yang didakwa sebagai aktivis politik pembangkang Mesir untuk diserahkan kepada Rejim Kudeta Mesir baru-baru ini sebagaimana yang dilapor oleh media tempatan dan antarabangsa.

- Advertisement -

Tindakan kerajaan dalam hal ini jelas bertentangan dengan Standard Hak Asasi Manusia apatah lagi mereka akan diserahkan kepada Rejim Kudeta Mesir pimpinan As-Sisi yang mempunyai rekod sangat buruk dan kejam terhadap musuh politiknya. Mereka yang dihantar pulang ini termasuk pelajar di universiti tempatan ini akan terdedah kepada risiko dihilangkan secara paksa, penyeksaan, penahanan sebelum bicara yang berpanjangan, dan perbicaraan tidak adil yang berleluasa di Mesir.

DPPM kesal dengan tindakan terburu-buru kerajaan demi memenuhi kehendak rakus Rejim Kudeta Mesir. Ini sangat memalukan sedangkan banyak pihak dalam PH sering melaung-laungkan perjuangan membela hak asasi manusia, atau apakah ia sekadar hak asasi manusia ‘terpilih’ atau sandiwara semata-mata? Sementelahan yang terlibat dengan penghantaran pulang itu adalah aktivis politik yang pro-Islam di kalangan anggota Ikhwan Muslimun.

DPPM mengecam penghantaran pulang mereka ini dan menuntut penjelasan segera daripada pihak kerajaan berkenaan pencabulan hak asasi manusia ini. DPPM menggesa kerajaan Malaysia agar konsisten dalam menghormati prinsip ‘non-refoulement’ bagi memastikan mereka yang berisiko tinggi untuk diseksa dan dilayan secara tidak adil oleh pihak rejim seumpama ini tidak dihantar pulang.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 10/3/2019

- Advertisement -