Berbaur hasutan, LGE tak layak jadi menteri

- Advertisement -

KENYATAAN Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah bersifat dangkal dan rasis apabila menyifatkan kerjasama PAS-Umno adalah satu bentuk survival politik untuk memerangi atau memusuhi non-Malay.

- Advertisement -

Ia dapat dilihat menerusi medium maya laporan Malaysiakini pada 6 Mac 2019 jam 8.22 malam. Tajuk laporan tersebut kemudiannya diedit pada jam 11.29 malam hari yang sama.

Beliau selaku menteri dan kerajaan yang memerintah sepatutnya bersifat profesional dalam sesuatu kenyataan yang dikeluarkan. Kenyataan demikian dilihat seolah-olah beliau masih lagi dalam konteks pembangkang yang tidak matang.

Kenyataan tersebut juga sangat bahaya kerana berbaur hasutan yang memberikan persepsi negatif yang boleh membawa implikasi rusuhan kaum jika tidak dibendung dari awal.

Kerjasama PAS-Umno pada konteks penyatuan isu ummah bukanlah bersifat rasis. Malah PAS sehingga kini memiliki pendukung dan penyokong non-Malay dan non-Muslim dari Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Kerjasama antara PAS-Umno ini rentetan banyak isu yang berkaitan kaum Melayu sebagai teras penganut Islam di negara ini serta isu-isu berkaitan agama dilihat pincang di bawah kerajaan PH selepas pasca PRU14.

Sehingga kini isu kematian Adib masih belum terbela, isu isu ratifikasi ICERD sebelum ini, begitu juga desas desus berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan dan banyak lagi.

Hakikatnya, kerjasama PAS-Umno dalam konteks penyatuan ummah dilihat memberikan tekanan kepada pihak PH. Ini jelas apabila kekalahan PH dua kali berturut-turut dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih ekoran sikap kerajaan PH yang gagal melunaskan janji malah terpalit dengan isu penipuan sijil akademik oleh beberapa wakil rakyat dari PH serta kempen-kempen bersifat fitnah dalam ucapan pimpinan PH.

Sekretariat SaveUmmah melihat sikap beliau sebegini tidak layak untuk menjawat jawatan menteri. Tiada kredebiliti dan penuh dengan isu negatif yang terpalit. Orang ramai digesa buat aduan polis berkaitan kenyataan beliau yang berbaur hasutan agar dikenakan tindakan yang sewajaranya.

NOR ZARINA MOHD AZHAR
Sekretariat
#SaveUmmah
Dewan Pemuda PAS Selangor
Dewan Muslimat PAS Selangor
Dewan Ulamak PAS Selangor – HARAKAHDAILY 9/3/2019

- Advertisement -