Kerjasama PAS-Umno: Ta’awun siyasi atau tahaluf siyasi

- Advertisement -

Ta’awun Siyasi=Kerjasama Politik.

- Advertisement -

Tahaluf Siyasi=Perjanjian Politik.

Salah satu ciri Ta’awun Siyasi ialah kerjasama tanpa suatu tempoh masa tertentu, manakala Tahaluf Siyasi pula adalah kerjasama dalam bentuk perjanjian untuk satu tempoh masa tertentu.

Kerjasama yang dilakukan atas tujuan kesatuan Islam, ia termasuk dalam konteks ta’awun kerana kerjasama seperti ini termasuk dalam konteks kebajikan dan takwa seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran تعاون على البر والتقوى .

Jika merujuk kepada penjelasan Ibnu Atiyyah, maka بر itu dalam pelaksanaannya adalah مندوب (sunat), manakala تقوى itu dalam pelaksanaannya adalah واجب. Walau bagaimanapun, perkara sunat itu juga boleh membawa kepada perkara wajib jika perkara yang wajib itu tidak dapat dicapai melainkan dengan perkara yang sunat itu.

Dalam konteks hubungan sesama manusia dan Allah, Imam Mawardi menjelaskan takwa adalah untuk mendapatkan reda Allah, manakala kebajikan pula adalah untuk mendapatkan reda manusia. Apabila kedua-dua reda ini dihimpunkan maka dapatlah kebahagiaan yang sempurna. Sebahagian pandangan pula menjelaskan bahawa kebajikan yang dilakukan itu sepatutnya membawa jalan untuk takwa, manakala takwa yang dilakukan itu seharusnya membawa kepada kebajikan.

Untuk itu, tujuan ta’awun bukan sekadar suatu pernyataan umum tuhan sahaja, tetapi ia merupakan suatu arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan sesama manusia. Kerjasama seperti ini tidak menjadi suatu pilihan bagi orang Islam sama ada untuk melaksanakannya atau tidak kerana arahan ini telah masuk dalam urusan menjaga hak Allah SWT iaitu urusan takwa.

Selain itu, tahaluf pula adalah bermaksud perjanjian. Apabila disebut sebagai perjanjian sudah tentu memerlukan suatu dokumen yang jelas bagi menunjukkan langkah-langkah kerjasama bagi mencapai suatu matlamat selagi mana tidak melanggar syariat Islam. Perjanjian itu juga sudah tentu mempunyai tempoh masa tertentu. Peranannya berbeza dengan ta’awun. Hal ini memberikan kefahaman bahawa ta’awun adalah suatu proses yang sentiasa berjalan, manakala tahaluf adalah suatu metod yang dipilih untuk suatu tempoh masa tertentu.

Itulah beza di antara keduanya.

Dalam perbincangan perbezaan parti mungkin ada pilihan untuk PAS dan Umno sama ada ingin bertahaluf ataupun tidak. Namun, dalam perbincangan kebajikan, kesatuan dan usaha untuk memartabatkan Islam, bangsa serta tanah air, maka tiada pilihan bagi PAS dan Umno untuk tidak bersatu.

Rakyat tidak ada masa untuk membincangkan hal masa depan yang belum tentu terjadi sama ada kerjasama ini akan terus lestari atau tidak. Yang penting doa, usaha dan tawakal untuk memastikan kerjasama ini terus lestari berbanding dari terus menadah tangan ke media sosial untuk mencari jalan merungkai kerjasama ini.

Cuma, sekarang ini adakah tahaluf atau ta’awun lebih patut didahulukan dalam kerjasama PAS-Umno ini? Jawapan saya, secara mudahnya ta’awun bagi sesama Muslim walaupun dua parti berbeza ia memang satu kewajipan dan tiada pilihan. Maka tak perlu lagi untuk berbincang ta’awun kerana memang telah pun berta’awun kerana ia satu kewajipan. Seperti juga solat 5 waktu yang wajib, tak perlu lagi bincang bab solat 5 waktu bagi seorang Muslim kerana memang suatu kewajipan melainkan sekadar untuk peringatan. Namun, jika hal yang bersifat pilihan seperti tahaluf maka sekarang PAS dan Umno saya lihat telah masuk satu langkah bertahaluf kerana telah ada satu perjanjian antara mereka.

Sangat rugi kerana baru sekarang kerjasama PAS dan Umno ini terealisasi, namun lagi rugi jika kerjasama ini tidak dilakukan sekarang. Lupakan kisah silam dan move up.

Harapnya tidak timbul lagi selepas ini PAS disalahkan jika terima duit kebajikan daripada Umno dan Umno disalahkan kerana bagi duit kepada PAS kerana sesama Islam tidak salah untuk sama-sama membantu saudara seIslamnya. Sebaliknya, kita akan terus dalam kerugian jika masih mencipta permusuhan sesama Islam.

Hiduplah dalam berkebajikan dan takwa. Sebagai seseorang yang percayakan hari pembalasan tidak ada alasan di hadapan Allah jika kita menjadi tangan-tangan yang merungkaikan kesatuan ini. Umat Islam bagaikan satu badan, jika anggota kiri merasa sakit, anggota kanan juga akan turut merasainya. – HARAKAHDAILY 8/3/2019

Penulis ialah Pensyarah & Penganalisis Ekonomi Politik Malaysia
Berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (Visiting Academic di University of Otago, New Zealand)

 

- Advertisement -