Kerajaan P. Pinang zalim usir rakyat sendiri

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Tindakan mengusir keluar lebih 20 penyewa Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Manggis menunjukkan kegagalan Kerajaan DAP Pulau Pinang menangani masalah perumahan rakyat.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pemimpin kerajaan gagal berperanan sebagai wakil rakyat, sebaliknya menjadi ‘wakil taukey’ dan ‘wakil pemaju’.

“Mereka sebagai pemimpin, tetapi tidak mesra rakyat, sebaliknya lebih pro kapitalis yang merampas hak rakyat. Mereka juga gagal memahami masalah rakyat bawahan yang tiada pilihan selain menduduki rumah PPR.

“Malah mereka gagal mengenali antara miskim bandar dan luar bandar sehingga salah satu syarat untuk menyewa rumah PPR ialah berpendapatan tidak lebih RM1,500 seisi keluarga yang sudah tidak relevan sekarang,” tempelaknya.

Pimpinan PAS Pulau Pinang diketuai Ustaz Fauzi bersama Iszuree Ibrahim, Yaacob Omar dan Saiful Lizan Md Yusoff telah turun meninjau sendiri keadaan penduduk tersebut yang kini terpaksa ‘merempat’ di KOMTAR.

Lebih memilukan mereka, para penduduk diusir itu dilayan seperti pendatang haram apabila rumah mereka dikunci tanpa sempat mengambil segala barangan, bahkan perbincangan yang diadakan hanya wayang tanpa penyelesaian.

Menurut Ustaz Fauzi, biarpun Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mendakwa arahan pengosongan premis kerana penduduk melanggari pelbagai syarat, tetapi pihak kerajaan sama sekali tidak wajar melayan mereka sedemikian rupa.

Tegasnya, kerajaan bukan pemaju pembangunan yang sewenangnya bertindak menghalau penduduk atas kuasa dan pemilikan, sebaliknya perlu mencari penyelesaian lebih berhemah terhadap kemelut itu.

Paling membimbangkan beliau sekiranya tindakan itu adalah langkah Kerajaan DAP menghalau keluar penyewa PPR yang kebanyakannya kaum Melayu, yakni sekali gus menghakis hak Melayu dari negeri ini.

“Dari dakwaan yang ada menyatakan pengusiran melibatkan keluarga bangsa Melayu Islam ini akan digantikan dengan pemohon bukan Melayu untuk menduduki PPR yang ada.

“Sedangkan, kenyataan Exco Perumahan, Jandep Singh terdapat lebih 600 pemohon sedang menunggu rumah PPR, sebenarnya menunjukkan kerajaan menyediakan jumlah yang mencukupi bagi keperluan golongan ini.

“Sedangkan dapat dilihat di seluruh negeri ini, kerajaan giat memberi kepada pemaju untuk membangunkan perumahan mewah yang banyak, sedangkan ia tidak mampu dimiliki penduduk,” ujarnya.

Untuk rekod, sepanjang 10 tahun DAP menerajui kerajaan negeri, tidak ada PPRT dibina, sebaliknya telah beberapa kes tanah diduduki penduduk Melayu-Islam terutamanya terpaksa keluar atas beberapa faktor. – HARAKAHDAILY 8/3/2019

- Advertisement -