Kenyataan Guan Eng sangat bahaya

nasrudin
- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam ulasan Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama politik PAS dan Umno sebagai isyarat ‘perang’ terhadap golongan bukan Melayu di Malaysia.

- Advertisement -

Kenyataan Lim Guan Eng sangat bahaya, boleh mencetuskan api permusuhan dan mengundang persekitaran yang tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kerjasama politik PAS dan Umno adalah satu tindakan untuk melindungi (protective action) kedudukan Islam, menyatu padukan ummah dan membela kebajikan orang Islam di Malaysia.

Tidak ada satu pun kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan PAS yang mengecam golongan bukan Islam dan bukan melayu, apatah lagi melancarkan permusuhan terhadap mereka.

Lim Guan Eng dan DAP cuba untuk menyalakan api permusuhan yang keterlaluan. Apakah mereka sangka kerjasama politik PAS dan Umno bertujuan untuk menghapuskan hak dan kepentingan golongan bukan Melayu?

Walhal, PAS mempunyai sayap parti Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada golongan bukan melayu dan bukan Islam. Malah, PAS telah menampilkan lebih ramai calon bukan Islam yang mewakili PAS dalam PRU14 lalu.

PAS menuntut Lim Guan Eng memohon maaf secara terbuka dan membetulkan keadaan.

Kenyataan politik yang sangat bahaya ini boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang ekstremis untuk melancarkan pelbagai tindakan propaganda supaya agenda penyatuan ummah gagal dan kebencian terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam terus dimomokkan.

Perjuangan PAS dan tindakan politiknya sehingga kini menepati lunas feqh politik Islam dan juga tidak bercanggah dengan amalan demokrasi negara.

Persoalannya kenapa Lim Guan Eng dan DAP kelihatan begitu cemas, takut dan panik dengan kerjasama politik antara PAS dan Umno?

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
30 Jamadil Akhir 1440 | 7 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 7/3/2019

- Advertisement -