Guan Eng: Pemuda pembangkang lapor polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sayap pemuda parti pembangkang yang terdiri daripada PAS, Umno, MCA dan MIC hari ini membuat laporan polis ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berikutan dakwaan kononnya kerjasama PAS-Umno satu serangan kepada bukan Islam.

- Advertisement -

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata kenyataan Guan Eng itu berbaur hasutan dan meniupkan sentimen kemarahan kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

“Penyatuan antara PAS-Umno tiada kaitan mahu menyisihkan, meminggirkan atau meremehkan mana-mana agama atau kaum.

“Bahkan penyatuan ini hanya khusus kepada soal penyatuan ummah untuk mengukuhkan lagi orang Melayu Islam.

“Apabila orang Islam kuat, orang Melayu kuat, sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat kita berbilang kaum dan agama boleh hidup dengan aman dan damai,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama sayap pemuda parti pembangkang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, tengah hari tadi.

Asyraf mewakili sayap pemuda menuntut permohonan maaf dan mendesak Setiusaha Agung DAP itu meletak jawatan sebagai menteri kanan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya, sekiranya tiada tindakan susulan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengadakan demonstrasi jalanan sebagai langkah mendesak kerajaan.

Beliau menjangkakan 100 laporan polis akan dibuat oleh sayap pemuda di seluruh negara susulan kenyataan biadap Guan Eng ini.

Hadir sama membuat laporan, Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Shahir Abu Hassan, Ketua Pemuda MIC, Thinalan T Rajagopalu, Setiausaha MCA, Daniel Wa, Ketua Pemuda Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Jhoell Harriyson dan wakil parti Berjasa. – HARAKAHDAILY 7/3/2019

- Advertisement -