Desak siasat kenyataan Guan Eng

- Advertisement -

ALOR SETAR: Satu laporan polis terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Alor Setar bersama Pergerakan Pemuda Umno Alor Setar, MAC, MIC, Kelab Ketuanan Melayu Kedah (KKMK) di IPD, Kota Setar, petang semalam.

- Advertisement -

Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Alor Setar, Mohd Aminur Shafiq Mohd Abduh, laporan berkenaan mendesak agar dijalankan siasatan terhadap menteri terbabit di atas kenyataannya yang bersifat menghasut, memecah-belah perpaduan serta boleh menjurus kepada pertelingkahan kaum.

“Dalam kenyataan itu beliau ada menyebut kerjasama Umno dan PAS adalah pengisytiharan perang kepada masyarakat bukan Melayu.

“Kenyataan sebegini bukan sahaja boleh menimbulkan ketegangan kaum malah boleh mengundang kemarahan rakyat,” ujar beliau.

Selain itu, sambungnya kenyataan seumpama itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan dan mana-mana undang-undang termaktub yang lain.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal mengharapkan pihak polis segera bertindak dan jangan biarkan keresahan rakyat terus marak.

“Satu demi satu episod berlaku, kesabaran rakyat senipis kulit bawang, maka hanya tindakan segera dapat membendung kemarahan ini,” katanya.

Justeru itu, beliau mengharapkan agar tindakan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dapat dilakukan dengan pantas sebagaimana pantasnya dakwaan terhadap Papagomo sebelum ini.

Selain itu, laporan pada hari itu juga mendesak agar Lim Guan Eng melepaskan jawatan dalam Kerajaan Pusat kerana apa yang telah dilakukan oleh beliau tidak menggambarkan kewibawaannya untuk terus menjawat jawatan sebagai menteri.

“Kenyataan beliau bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan tidak wajar bagi seorang menteri dan jelas biadap,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/3/2019

- Advertisement -