Yaman: PASRelief sedia gerak bantuan skala besar

- Advertisement -

SEIYUN, Yaman: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) akan menggerakkan usaha pada skala lebih besar menerusi misi selanjutnya ke negara ini nanti, demikian menurut Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihaknya telah menyaksikan sendiri begitu banyak keperluan yang masih jauh dari mencukupi untuk dipenuhi ke atas migran mangsa perang atas dasar membantu sesama saudara se-Islam di bumi Yaman.

Tanpa memperincikan perancangan tersebut, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membayangkan untuk membawa dana sekurang-kurangnya RM0.5 juta apabila misi kedua dilaksanakan akan datang.

Pun begitu maklumnya, PASRelief akan mengusahakan bantuan terdekat menerusi kerjasama rakan NGO di Malaysia, termasuk juga menerusi Jamiyat Al-Islah Al-Ijtimaie Al-Khairiah (CSSW) dan persatuan pelajar Malaysia di Yaman.

Sanusi dalam pada itu menyatakan komitmen dan perhatian PASRelief sebagai memikul tanggungjawab bagi pihak PAS terhadap keadaan serta perkembangan di negara ini kepada wakil CSSW di Pejabat Cawangan CSSW, di sini.

Akui beliau, PASRelief masih baharu dalam pengalamannya di Jazirah Arab, namun bertuah memiliki rakan NGO seperti CSSW serta para penuntut Malaysia yang sangat membantu urusan sepanjang misi di sini.

Malah, beliau mengimbau sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu daripada peranan para ulamak Yaman hingga umat di Nusantara akhirnya menerima Islam dan berharap hubungan terjalin akan lebih erat selepas ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung CSSW Cawangan Wadi Hadramawt, Adel Ali Bamakhramah menjelaskan betapa keadaan di negara ini sememangnya sangat berhajat kepada bantuan seperti diusahakan PASRelief.

Beliau mengakui keadaan bahaya dan serba kekurangan terutama di Ma’arib yang menjadi tumpuan para migran perang hingga kini, namun memuji inisiatif dan permusafiran jauh serta pengalaman telah ditempuhi delegasi PASRelief.

Adel Ali turut berharap agar kelangsungan misi tersebut dan menegaskan bahawa usaha seperti ini menjadi bukti terhadap kesatuan untuk membantu saudara seagama biarpun terpisah di negara yang pelbagai di seluruh dunia.

Delegasi PASRelief kini dalam proses menyiapkan permohonan visa untuk masuk semula ke Oman di mana akan meneruskan perjalanan ke negara tersebut menerusi jalan darat dan dijangka tiba tengah malam ini waktu Malaysia di Salalah.

Seterusnya delegasi yang turut dianggotai Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ustaz Yusni Md Piah ini akan berlepas pulang ke tanah air dengan penerbangan malam esok daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Muskat.

Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi 012-596 9220 (Sanusi) atau 013-384 5555 (Mohd Adram Musa).HARAKAHDAILY 6/3/2019 

IMG 20190306 WA0033

- Advertisement -