K’jaan berpeluk tubuh, Mujahid digesa letak jawatan

Kamaruzaman
- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membayangkan bahawa umat Islam bakal berhimpun lagi secara besar-besaran berikutan kekesalan terhadap penghinaan kepada Islam dan Rasulullah mutakhir ini.
 
Timbalan Pengerusi UMMAH, Kamaruzaman Mohamad berkata, umat Islam merasa amat keewa dengan sikap berpeluk tubuh kerajaan dalam mendepani isu amat sensitif itu.
 
Perkara tersebut dinyatakan beliau menerusi sidang media UMMAH yang diadakan berkenaan laporan polis terhadap isu penghinaan Alvin Chow ke atas Rasulullah S.A.W di IPD Dang Wangi, di sini kelmarin.
 
Terdahulu, beliau membuat penegasan kepada kerajaan supaya bertindak tegas terhadap sebarang usaha untuk menimbulkan suasana tidak aman dalam negara dengan membangkitkan isu-isu sensitif. 
 
“Ini bukan sahaja membangkitkan isu sensitif, tetapi penghinaan secara luar biasa biadap terhadap Nabi yang sangat-sangat dimuliakan oleh orang Islam.
 
“Saya telah memberi amaran kepada (Dato’ Dr) Mujahid (Yusof) supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelak kejadian ini daripada berulang,” katanya selepas demonstrasi di Masjid Negara Jumaat lalu.
 
Walaubagaimanapun, Kamaruzaman kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ternyata telah bertindak sebaliknya.
 
“Tapi apa yang berlaku sebaliknya, beliau lebih menekan orang yang nak bangkit membela Nabi berbanding orang yang menghina maruah Nabi.
 
“Saya beri amaran, sekiranya kerajaan gagal untruk menangani isu ini dengan baik, kami akan mengadakan himpunan yang jauh lebih besar daripada ini. Ini janji komitmen kami daripada UMMAH,” tegas beliau.
 
Beliau turut mencabar Mujahid supaya meletakkan jawatan berikutan gagal dan dilihat tidak mampu menangani isu tersebut yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini dilakukan individu-individu tertentu dengan pelbagai perkataan kesat di media sosial.
 
“Saya cabar Mujahid, kalau anda tak mampu menjaga agama kami dari terus dihina, sila letak jawatan,” bidasnya.
 
Tambah Kamaruzaman, Mujahid tidak layak memegang jawatan sekiranya beliau tidak mampu menjaga kedudukan agama Islam sebagaimana telah termaktub dalam Perlembagaan Negara.
 
Terdahulu, Mujahid menyifatkan cadangan himpunan protes terhadap penghinaan agama itu sebagai sesuatu yang bersifat politik dan ‘menunggang agama’ semata-mata.
 
Justeru, Timbalan Pengerusi UMMAH itu turut mengharap pihak polis bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera sebelum suasana menjadi lebih parah dan hubungan antara kaum semakin meruncing.
 
Beliau juga berkata, UMMAH telah dihubungi oleh NGO-NGO Islam dari seluruh negara menyatakan perasaan marah yang teramat terhadap insiden berlaku ini dan bimbangan sekiranya aktiviti sedemikian tidak disekat. – HARAKAHDAILY 6/3/2019
- Advertisement -