“Langkah batu uban” bakal bawa bencana?

- Advertisement -

JIKA diamat-amati maka terdapat beberapa kecenderungan yang nyata dalam desakan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad segera meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan dalam desakan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim segera dilantik sebagai Perdana Menteri.

- Advertisement -

Pertamanya, desakan supaya Tun Dr Mahathir segera meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ini dibuat oleh pemimpin DAP, satu parti komponen Pakatan Harapan, iaitu Dr Boo Cheng Hau, yang merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Johor dan bekas Adun Skudai.

Laporan bertajuk “Perlekeh Manifesto: Pemimpin DAP Desak Dr M Berundur” yang memuatkan desakan Dr Boo Cheng Hau dan disiarkan oleh portal berita Free Malaysia Today pada jam 2:14 petang 19 Februari 2019 telah mendapat 47,200 perkongsian (shares).

Di sebalik desakan beberapa pihak, hingga kini tiada mana-mana pemimpin tinggi DAP yang menegur Dr Boo Cheng Hau kerana membuat desakan ini dan Dr Boo Cheng Hau juga tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan tatatertib kerana membuat desakan ini.

Keduanya, desakan supaya Datuk Seri Anwar segera dilantik sebagai Perdana Menteri pula dibuat oleh pemimpin PKR, satu lagi parti komponen Pakatan Harapan, iaitu Kumaresan Aramugam, yang merupakan Ketua AMK Bayan Baru dan Adun Batu Uban.

Laporan bertajuk “ADUN PKR Gesa Angkat Anwar Jadi PM Secepat Mungkin” yang memuatkan desakan Kumaresan Aramugam dan disiarkan oleh portal berita Malaysia Kini pada jam 12:02 tengahari 4 Mac 2019 telah mendapat 21,800 perkongsian (shares).

Hingga kini tiada mana-mana pemimpin tinggi PKR yang menegur Kumaresan Aramugam kerana membuat desakan ini dan Kumaresan Aramugam juga dijangkakan tidak akan dikenakan apa-apa tindakan tatatertib kerana membuat desakan ini.

Sepertimana diamnya pemimpin DAP ke atas desakan Dr Boo Cheng Hau menimbulkan persepsi bahawa pandangan ini mewakili pandangan mereka, maka diamnya pemimpin PKR ke atas desakan Kumaresan Aramugam akan menimbulkan persepsi sama.

Apakah “Langkah Batu Uban” yang dibuat oleh Kumaresan Aramugam ini boleh diumpamakan sebagai “sokong membawa rebah” dan akan mengulangi kegagalan “Langkah Kajang” sebelum ini adalah sesuatu yang menarik untuk ditunggu dan dilihat.

Pastinya desakan Kumaresan Aramugam ini adalah bercanggah dengan keputusan MPP PKR pada 24 Februari 2019 yang menyebut PKR berpegang teguh kepada persetujuan bahawa Datuk Seri Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri “selepas tempoh 2 tahun”.

Pandangan awal masyarakat adalah, bila desakan begini disuarakan oleh pemimpin PKR sendiri dan bukannya disuarakan oleh rakyat terbanyak seperti pemuka masyarakat sivil, maka apa yang tergambar adalah imej pemimpin PKR yang gopoh dan gelojoh.

Berbanding jika sesuatu langkah hanya dibuat sebagai reaksi bila sesuatu perjanjian sudah tidak ditepati, langkah yang dibuat sebelum dapat diketahui apakah perjanjian itu akan ditepati atau tidak memungkinkan langkah balas dibuat dari pihak satu lagi.

Sama ada akan wujud langkah balas atau tidak sama-samalah kita nanti. – HARAKAHDAILY 5/3/2019

- Advertisement -