PRK Rantau: SPR mesyuarat Rabu ini

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun N.27 Rantau, Negeri Sembilan pada Rabu (6 Mac) ini di Ibu Pejabat SPR, di sini.

- Advertisement -

Setiausaha SPR, Dato’ Mohamed Elias Abu Bakar berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan PRK itu.

“Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut,” ujarnya dalam kenyataan, di sini.

PRK Rantau diadakan susulan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 18 Februari lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membabitkan kerusi Dun Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Sebelum itu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban pada 16 November lalu memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi Dun Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr S Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat SPR.

Streram memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR. – HARAKAHDAILY 4/3/2019

- Advertisement -