Anwar punca Bersatu kalah PRK Semenyih

- Advertisement -

SEMENJAK perjumpaan Tun Dr Mahathir dengan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini, pelbagai spekulasi telah timbul. Jelas selepas perjumpaan tersebut dan terdedah butirannya, PAS secara terang dan nyata menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri serta mahu beliau kekal sehingga PRU15 yang membuatkan ramai tidak keruan.

- Advertisement -

Sokongan PAS terhadap Tun Dr. Mahathir sebenarnya membuat Anwar Ibrahim kepanasan. Tambahan pula PAS mendedahkan wujud gerakan di sebalik tabir untuk mengenepikan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Ia membuatkan Anwar Ibrahim tidak senang duduk dan menyerang PAS bertubi-tubi. Pelik, mengapa beliau menyerang PAS sedangkan yang bertanding di PRK Semenyih ialah Umno, Bersatu dan PSM.

Adakah dengan menyerang PAS pengundi Melayu akan menyokong PH dan adakah dengan menyerang PAS peluang Umno untuk menang dalam PRK Semenyih tipis? Jawapannya tidak, jelas serangan Anwar Ibrahim terhadap PAS membuatkan orang Melayu semakin benci dan menolak PH secara terang tanpa segan silu. Sebenarnya serangan Anwar Ibrahim terhadap PAS ialah punca utama kekalahan Bersatu di PRK Semenyih.

Ya, BN menang dan PH kalah di PRK Semenyih dan keputusan PRK Semenyih ialah manifestasi penolakan orang Melayu terhadap PH dan punca utama kekalahan PH ialah Anwar Ibrahim. Fitnah RM1.4 juta ternyata umpama memakan diri yang mana ia sememangnya tidak benar serta menjejaskan peluang Bersatu memenangi PRK Semenyih.

Gelombang anak muda ketika PRU lalu jelas tidak memihak kepada PH malah menolak PH dengan jumlah undi lebih besar. Mengapa secara tiba-tiba Anwar Ibrahim menyerang PAS di PRK Semenyih walau PAS tidak bertanding dan adakah menyerang PAS itu sebenarnya kaedah supaya Bersatu tidak menang di PRK Semenyih? Jika dilihat pada keadaan sekarang, jawapannya jelas di depan mata.

Kekalahan Bersatu di PRK Semenyih akan merumitkan lagi keadaan konflik dalaman PH. Selepas ini kemungkinan akan lebih besar lagi konflik tersebut hingga tidak mampu lagi disorok dari pandangan umum. Tambahan pula PRK Rantau yang akan berlangsung tidak lama lagi dan PKR pula yang akan bertanding, sudah tentu jika makin parah konflik dalaman PH ia akan menyukarkan PKR untuk menang di Rantau.

DAP umpama tidak bermaya di PRK Semenyih seperti tidak bersungguh membantu Bersatu. Cabaran PAS pada DAP untuk menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini tidak dilakukan. Tidak seperti PKR yang akhirnya MPP PKR menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri setelah diasak, DAP sehingga hari ini melalui CEC DAP langsung tidak berbuat demikian. Tidakkah pelik sikap DAP ini atau sebenarnya ada sesuatu yang berlaku?

Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung tidak lama lagi dan sudah tentunya menjadi tumpuan utama. Apakah benar berlaku seperti yang dijangka? Walau apapun berlaku, PAS tetap berdiri teguh dan menyokong Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri hingga tamat tempoh Kerajaan sekarang.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/3/2019

- Advertisement -