Ahli diseru kuat jati diri persiap PAS memimpin

UIA5
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Ahli PAS perlu mengumpulkan kekuatan jati diri agar mampu memimpin kebangkitan masyarakat Islam di negara ini, demikian seru Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

- Advertisement -

Perkara tersebut dinyatakannya pada Liqa’ Fikri dan Dialog Bersama Pimpinan anjuran Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS Negeri, Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

Mengupas mengenai politik matlamat menghalalkan cara, beliau menempelak kaedah tersebut yang mengenepikan soal dosa, pahala, neraka dan syurga demi mencapai cita-cita mereka.

Terangnya, politik seperti itu seiring fahaman sekular yang perjuangannya terhad sebelum mati tanpa ada lagi hala tuju selepas kematian hingga sanggup melakukan sewenangnya semasa hidup.

“Sedangkan PAS berpolitik sebagai wasilah jambatan ke akhirat dan menjadi sebahagiah kerja amal untuk dibawa bertemu Allah S.W.T.

“Sebab itulah PAS bersabar merintis kemenangan dengan jalan diredai Allah, biarpun kemenangan itu bukan di zaman kita, tetapi zaman anak cucu akan datang,” ujarnya.

Menegaskan kepentingan politik, Ustaz Idris memetik hadis tujuh golongan dinaungi Allah yang meletakkan pemimpin adil di darjat pertama berbanding ahli zikir di kedudukan ketujuh.

Jelas beliau, ini kerana pemimpin menguruskan ramai manusia di mana rosak dirinya akan pincanglah masyarakat dan negara, sedang amalan zikir hanya untuk manfaat individu.

Beliau turut mengingatkan kepentingan prinsip perjuangan antaranya bersifat tawaduk sesama Muslim, tetapi menunjukkan izzah kepada bukan Islam agar adanya penghormatan dan agama tidak diperlekehkan.

Beliau membidas sikap mereka yang tiada prinsip dalam perjuangannya apabila sanggup melabelkan sesama Islam yang membantah penghinaan atas Nabi sebagai penunggang agama.

Sedangkan mereka itu katanya, bersikap lunak kepada bukan Islam termasuk yang menghina agama semata-mata menjaga hati golongan itu demi meraih undi pilihan raya.

Islam jelas beliau, telah menegaskan bahawa wala’ Muslim hanya pada Allah, Rasul serta orang Mukmin dan bukan dari ajaran Islam tindakan menghina ulamak, malah berbaik serta wala’ kepada bukan Islam.

“Kita hendaklah menghormati keputusan dibuat jamaah kerana kecerdikan ramai lebih baik dari cerdiknya kita seorang diri.

“Walaupun jika terdapat rasa tidak puas hati, namun apabila telah jadi keputusan jamaah, maka kita terimanya dengan lapang dada tanpa rasa ego,” nasihatnya.

Ustaz Idris juga mengupas perihal Maqasid Syariah yang digunakan secara tidak menurut maratib di mana mesti mendahulukan ‘hifzuddin’ yakni memelihara agama berbanding harta.

Menjelaskan isu fitnah RM90 juta dan saman atas Sarawak Report katanya, PAS mempunyai bukti jauh lebih banyak berbanding dakwaan, namun perbicaraan dijadualkan bulan depan memerlukan kos hingga RM7 juta.

Oleh sebab PAS tidak mampu dari sudut kewangan itu terangnya, maka dipilih penyelesaian luar mahkamah di mana ia turut melibatkan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Mengenai dakwaan isu derma dari Umno, beliau mengajak memahami kaedah untuk tidak mempersoal sumber wang itu, sebaliknya jika diketahui dari sumber tidak halal, barulah ia menjadi haram.

Memahamkan ahli berhubung langkah semasa politik PAS menerusi Ta’awun Siyasi, beliau mengingatkan isu lalu di mana kesilapan mereka yang keluar PAS adalah kerana meletakkan wala’ kepada PKR dan DAP.

Sedangkan terangnya, dalam konteks ta’awun dengan Umno dilakukan PAS ketika ini adalah kebersamaan menghadapi ancaman terhadap Islam dan kedudukan Melayu.

_Ta’awun_ juga jelas beliau, dilakukan atas dasar berkawan dengan orang lain tanpa ada rasa tamak dan kedekut, namun tetap mengutamakan kepentingan rakyat dan agama.

Ustaz Idris turut menyangkal bahawa pertemuan PAS dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sokongan kepada PH, tetapi atas dasar beliau pemimpin tertinggi negara.

Beliau juga mengajak ahli PAS memahami keperluan kerjasama dengan Umno dilakukan pada ketika ini yakni saat orang Melayu masih kuat demi menyelamatkan kepentingan Islam dan Melayu.

Menurutnya, penangguhan boleh menyebabkan kelewatan pada agenda genting itu, selain penting PAS menyampaikan mesej dakwah kepada ahli-ahli Umno menerusi program bersama. – HARAKAHDAILY 4/2/2019

- Advertisement -