Semenyih: Keikhlasan kerjasama Umno-PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wanita Umno mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih kerana telah memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

“Terima kasih dan penghargaan juga kepada seluruh jentera parti BN khususnya jentera Wanita Umno dan Dewan Muslimat PAS yang telah bekerja keras menentukan kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi,” ujar Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih itu jelas menggambarkan keikhlasan kerjasama Umno-PAS yang ternyata mendapat sokongan besar majoriti umat Islam.

Selain itu, ujarnya kemenangan BN di Semenyih itu juga boleh dianggap sebagai referendum protes rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal menunaikan janji-janji yang dibuat.

“Semoga kemenangan ini menyuntik semangat jentera parti untuk terus berusaha dan bekerja keras di PRK Rantau nanti,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong.

Pada PRK Semenyih yang diadakan semalam, calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi, Muhammad Aiman Zainali (PH) mendapat 17,866 undi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng (725 undi). – HARAKAHDAILY 3/3/32019

- Advertisement -