‘Penggeledahan’ akaun bank era Malaysia Baharu

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

Akaun bank seseorang adalah maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada umum sesuka hati. Pegawai-pegawai bank dan petugas di institusi kewangan sangat maklum dengan perkara ini.

Akaun seseorang individu hanya boleh di’geledah’ oleh pihak berwajib yang mengawal selia institusi kewangan seperti Bank Negara atau agensi di bawah Kementerian Kewangan, jika didapati ada transaksi perbankan yang meragukan. Atau oleh agensi penguatkuasaan apabila melibatkan jenayah kewangan dan rasuah seperti Polis dan SPRM, iaitu berdasarkan kuasa yang diberi oleh akta atau setelah mendapat kebenaran mahkamah.

Perkembangan semasa

Pada hari ini, transaksi akaun setiap warganegara Malaysia boleh di’geledah’ dengan mudah secara rakus oleh orang seperti Rafizi Ramli, sekalipun nombor akaun yang diperolehnya tidak lengkap.

Baru-baru ini DS Anwar mengaku tahu transaksi akaun pihak lain. Pihak PAS, Umno dan individu lain. Sarawak Report pun hairan bagaimana DS Anwar boleh tahu. Rafizi Ramli pula tahu transaksi Datuk Rameli Musa secara spesifik, dan mendedahkannya kepada umum.

Rafizi dan akaun Datuk Rameli

Tambahan yang menarik bagi kes ini ialah Rafizi, walaupun beliau gagal dalam usaha mendapatkan jawatan Menteri Kewangan dalam pentadbiran Tun Mahathir, mendakwa dia tahu bahawa transaksi RM1.4 juta daripada akaun Datuk Rameli kepada SR adalah sebagai bayaran PAS kepada SR. Datuk Rameli hanya orang tengah.

Ini sangat menarik PAS menafikan dan tidak tahu menahu mengenai transaksi itu dan menafikan membuat apa-apa bayaran kepada SR. Datuk Rameli pula ‘terdiam’ dengan serangan kepada maklumat transaksi akaunnya yang disebarkan secara umum oleh Rafizi. Tiada apa-apa komen daripada beliau setakat ini.

Cara siasatan Rafizi
 

Rafizi terus ‘tahu’ PAS meminta Datuk Rameli menyelesaikan bayaran kepada SR menerusi Americk Sidhu hanya berdasarkan dakwaannya bahawa Datuk Rameli ‘baik’ dengan Presiden PAS. Dia gagal mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh, bahawa Datuk Rameli juga ‘sangat baik’ dengan bosnya yang sedang menanti jadi PM. Dia juga dapat mengenal pasti akaun Datuk Rameli dengan menambah sendiri 4 angka tambahan daripada nombor akaun palsu atau nombor akaun tak cukup digit yang diberikan oleh SR.

Wow! Sekali imbas nampak macam ‘genius’. Dua kali imbas nampak seperti ‘psikik’. Setelah banyak kali imbas, kita cuma pasti tak nampak macam ‘akauntan bertauliah’ saja.

Cubaan memancing jawapan Datuk Rameli

Lanjutan maklumat Rafizi disebarkan secara meluas di media sosial, ramai yang meminta Datuk Rameli menjelaskan mengenai transaksi RM 1.4 juta itu untuk tujuan apa sebenarnya. Walaupun sebenarnya, belum dapat dipastikan, betul atau tidak ada transaksi seperti itu berlaku dalam akaun Datuk Rameli. Dan belum ada perintah pihak berwajib meminta Datuk Rameli menjelaskan perkara tersebut.

Adakah maklumat akaun Datuk Rameli betul-betul bocor?

Dalam kes ini, sama ada maklumat transaksi kewangan seseorang individu di Malaysia, seperti Datuk Rameli telah dibocorkan, atau ia hanyalah maklumat berdasarkan firasat ‘tok bomoh’ seperti Rafizi.

Jika ia adalah kategori pertama, maka Bank Negara mesti menjalankan siasatan bagaimanakah kebocoran maklumat seperti ini berlaku. Kenal pasti tempat ia bermula dan dakwa pihak yang bertanggungjawab.

Jika ia kategori kedua, pihak Bank Negara dan agensi penguatkuasa mestilah memberi amaran kepada individu yang sering mendakwa ‘mengetahui’ maklumat transaksi perbankan ‘musuh-musuh’ politiknya seperti Rafizi, supaya segera menghentikan ‘pembohongannya’ yang meresahkan orang ramai, dan merosakkan reputasi orang yang di’serang’.

Pengalaman sebelum ini

Sebelum ini, Datuk Husam Musa mendakwa mengetahui penerimaan RM90 juta duit 1MDB dalam akaun PAS di RHB. Dan SR yang mendakwa maklumat RM90 juta dalam akaun PAS diperolehi daripada Datuk Ambiga.

Bila siasatan rapi dibuat oleh SPRM, tiada pun transaksi seperti itu dikesan dalam akaun PAS. Walaupun sejak setahun lepas, pihak yang mendakwa dan pihak yang percaya kepada kewujudan transaksi begitu ‘sangat yakin’ dengan maklumat tersebut.

Penutup

Dalam era Malaysia Baharu, jika anda musuh politik DS Anwar dan Rafizi, atau anda anda adalah kawan kepada musuh-musuh politik mereka, maklumat transaksi perbankan anda boleh di’geledah’ bila-bila masa, mengatasi kuasa Bank Negara dan agensi penguatkuasaan undang-undang negara.

Walaupun tindakan seperti Rafizi bertujuan untuk mendedahkan ‘kebenaran’, tetapi ia dalam bentuk yang tidak dibenarkan oleh undang-undang dan mencetuskan panik dan kebimbangan. Menariknya, kebenaran’ mengenai dakwaan sumbangan pihak asing yang dimasukkan ke akaun PKR dan DAP masih belum didedahkan oleh Rafizi setakat ini.

Perkembangan semasa mengenai perkara ini adalah amat tidak sihat dan menyeramkan bagi setiap pemegang akaun bank di negara kita.

ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang
4 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 4/3/2019

- Advertisement -