Kerjasama PAS, Umno bukan lagi ‘taboo’

- Advertisement -

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) yakin bahawa kerjasama antara PAS dan Umno bukan lagi ‘taboo’ atau pantang larang yang cuba dihindarkan dari menjadi perbincangan dalam kalangan Umat Melayu khususnya ahli-ahli PAS dan Umno.

- Advertisement -

Sebaliknya kerjasama antara PAS dan Umno sudah dilihat sebagai satu keperluan yang mendesak untuk menghalang kerajaan PH yang didominasikan oleh DAP meneruskan agenda Malaysian Malaysia mereka.

Sebelum PRU ke-14, PH berjaya menjadikan usaha untuk mewujudkan kerjasama ini sebagai satu taboo di kedua-dua belah pihak PAS dan Umno. Mereka membangkitkan pelbagai isu termasuklah isu PAS mendapat dedak RM90 juta daripada dana 1MDB dan sumbangan pilihan raya RM2.5 juta dari dana Umno. Hasilnya, PH berjaya menawan sekurang-kurangnya 27 kerusi parlimen yang sepatutnya tidak terlepas sekiranya ada persefahaman antara PAS dan Umno.

Kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih menjadi petunjuk yang paling sahih, dengan kerjasama erat antara PAS dan Umno, DAP dan gerombolannya berjaya dikalahkan termasuk di negeri kubu mereka Selangor.

Kerjasama PAS dan Umno berjaya meyakinkan majoriti besar kaum Melayu malah sebahagian kecil kaum Cina dan India yang menolak agenda DAP untuk merungkaikan sendi-sendi kestabilan politik dan keharmonian perpaduan kaum di Malaysia.

PPP juga melihat isu berkaitan RM90 juta yang dibangkitkan oleh Sarawak Report, termasuklah yang terkini pembayaran RM1.4 juta oleh Datuk Rameli Musa yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim, tidak lagi menjadi pertimbangan Umat Melayu.

Sekiranya tujuan isu ini dilontarkan oleh PH untuk mewujudkan taboo dalam kalangan ahli-ahli PAS supaya menghindarkan kerjasama dengan Umno, dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih kedua-dua parti sudah bekerjasama cukup erat.

PPP menyeru kepada umat Melayu untuk terus maju ke hadapan ke arah kesatuan ummah yang lebih mantap untuk mengekang kerakusan PH merealisasikan agenda Malaysian Malaysia.

Jangan lagi menoleh ke belakang melayan isu-isu yang ditimbulkan oleh PH dan media mereka. Kita serahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengadili isu-isu yang mereka bangkitkan seperti isu SRC, 1MDB, RM90 juta dan lain-lain

PPP juga yakin kerjasama antara PAS dan Umno akan mengundang penyertaan ribuan figura tersohor Melayu dalam dalam pelbagai lapangan untuk menyokong agenda kesatuan ummah ini.

Dengan penyertaan mereka, kedua-dua parti terbesar Melayu-Islam ini akan dipandu untuk menampilkan kepimpinan Melayu-Islam yang berintegriti dan beramanah untuk mengambil-alih taraju kepimpinan dari PH yang semakin terserlah kelemahan dan kepincangannya.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 3/3/2019

- Advertisement -