Wajib bangkit tukar kerajaan – Tuan Ibrahim

- Advertisement -

 MARANG: Umat Islam di seluruh negara wajib bangkit menukar kerajaan yang memerintah hari ini, jika tidak ada tindakan segera diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina Rasululllah SAW.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak, kerajaan Pakatan Harapan menyemak kembali undang-undang yang menghina Nabi, agar lebih keras dan tegas termasuklah kembali kepada hukum Allah SWT.

Ini kerana, katanya undang-undang yang sedia ada terpakai sangat longgar dan tidak menakutkan.

“Jika ada orang menghina Nabi SAW hari ini dan kerajaan yang sedia ada tidak bertindak segera, kita wajib bangkit menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Kita bukan sahaja mengharap kerajaan menangkap dan menghukum, tetapi perlu diadakan semakan undang-undang terhadap yang ada, yang bagi kita undang-undang yang sedia ada ini sangat longgar, tidak menakutkan.

“Denda RM3,000 sama seperti denda orang khalwat. Denda hina Rasulullah, sama dengan denda minum arak,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan Aman Bantah Penghinaan Kepada Rasulullah di pekarangan Masjid Rhu Muda, selepas solat Jumaat, hari ini.

Menurutnya, kuasa politik yang diamanahkan itu bukan tempat mencari kesenangan dunia tetapi bagi mempertahankan agama Allah SWT.

“Kita kena ingat kemenangan tidak ada makna kalau Nabi kita dimaki hamun dan dicerca. Ingat, harta benda kita tidak ada nilai jika Nabi dicerca dan kita berpeluk tubuh tidak bertindak sesuatu.

“Himpunan kita ini sebahagian dari kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Himpunan kita bukan hanya membantah orang hina Nabi tetapi mengajak orang bersama kita, dengan apa yang ditinggalkan oleh Nabi SAW,” jelasnya.

Timbalan Presiden PAS itu menegaskan, kepada mana-mana pihak sama ada Islam atau non-muslim agar tidak mengulangi kesilapan mereka yang menghina Nabi SAW.

“Peringatan kita kepada mana-mana pihak sama ada Islam atau bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu.

“Kalau kamu hina Nabi, kamu bersedia berdepan dengan kami semua yang akan bangkit mempertahankan Nabi kami, Insya’Allah,” tegasnya dihadapan lebih 2,000 umat Islam.

Hadir sama dan turut berucap pada himpunan aman itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun) Teregganu, Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Ketua Pemuda Marang, Ustaz Muhammad Yusof Abdul Hadi.

Pada himpunan itu, pelbagai slogan dipamerkan melalui playkad dan banner seperti ‘Kami Rela Mati Demi Rasulullah, Sabar Kami Ada Batas!’, ‘Jangan Cabar Kesabaran Umat Islam’, ‘Himpunan Ummah Bantah Hina Nabi SAW’, dan banyak lagi.

Sumber Harakah memaklumkan, puluhan masjid mengadakan bantahan itu di seluruh negeri Terengganu, dari Kemaman hingga ke Besut. – HARAKAHDAILY 1/3/2019

plakad

solat

- Advertisement -