Pendirian PAS terhadap UEC

- Advertisement -

UNIFIED Examination Certificate (UEC) merupakan ujian peperiksaan menengah yang ditadbir oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sejak tahun 1975. Pada peringkat awalnya UEC di ambil dari negara Taiwan. Namun ianya telah diubah dan disesuaikan dengan pendidikan di Malaysia.

- Advertisement -

UEC hanya diterima oleh segelintir kaum Tionghua sahaja, tidak mewakili keseluruhan kaum Tionghua di sekolah persendirian Cina peringkat menengah kerana kos yang tinggi dan tempatnya yang terhad.

Walau bagaimanapun, Sijil UEC yang diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ini, dibenarkan beroperasi mengikut cara dan silibusnya tersendiri dengan syarat, pelajarnya turut diwajibkan mengambil mata pelajaran yang ditawarkan di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang termaktub di dalam seksyen 73 dan 74 Akta Pendidikan Negara.

PAS mengambil pendirian untuk menolak pengiktirafan terhadap Sijil UEC berdasarkan perkara-perkara berikut:

I. Sistem pendidikan di Malaysia harus berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara dan Dasar Pembinaan Negara dan Bangsa serta ditadbir dan diurus berpandukan Akta Pendidikan Negara 1996 dan Kurikulum Kebangsaan 1997.

II. Sistem pendidikan yang selain daripada itu tidak wajar untuk diiktiraf di dalam sistem pendidikan nasional.

III. Pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Akta Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Negara dan Kurikulum Kebangsaan.

IV. Bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan UEC tidak meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama serta tidak menggunakan kurikulum nasional.

V. Usaha untuk mengiktiraf UEC tidak berdasarkan pengiktirafan pakar-pakar pendidikan nasional secara komprehensif dan menyeluruh.

VI. Pengiktirafan terhadap UEC yang lebih condong kepada hanya segelintir masyarakat Tionghua lebih menjadikan kedudukan eksklusif kepada golongan tertentu dalam sistem pendidikan nasional.

VII. Kewujudan dwi-standard dalam sistem pendidikan negara boleh menghakis Identiti kebangsaan di Malaysia.

VIII. Penerimaan UEC adalah tidak adil kepada mereka yang sudah mengikuti sistem konvensional yang sedia ada.

IX. Pendidikan Islam di negara ini juga bertoleransi dengan sistem pendidikan negara dengan menjadikan peperiksaan mereka (STAM dan SMA) selari dengan sistem pendidikan negara walaupun sijil-sijil tersebut mendapat pengiktirafan lebih luas di peringkat antarabangsa.

Cadangan Inisiatif PAS

I. Kerajaan perlu lakukan penambahbaikan terhadap prasarana pendidikan di Sekolah Kebangsaan untuk manfaat semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

II. Kerajaan perlu memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di semua jenis dan peringkat persekolahan di Malaysia.

III. Semua pihak perlu patuh kepada sistem pendidikan yang sedia ada dengan menambahbaik kekurangan pada peperiksaan utama seperti SPM dan STPM sekiraya perlu.
I

V. Kerajaan perlu memperkasakan prasarana di sekolah jenis kebangsaan di Malaysia (SJKC) dan (SJKT) berbanding lebih banyak bermain tarik tali dengan sistem dan Dasar Pendidikan Negara.

I. Kerajaan perlu lebih tegas untuk memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara dan Dasar Pembinaan Negara bangsa yang sedia ada.

Berdasarkan pandangan-pandangan yang diberikan tersebut, PAS berpendirian bahawa desakan bilangan yang terlalu kecil rakyat yang cuba untuk mencarik Dasar Pendidikan Kebangsaan dan seterusnya memaksa kerajaan untuk mengiktirafnya tidak wajar dilayan oleh kerajaan.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat
28 Febuari 2019 – HARAKAHDAILY 28/2/2019

- Advertisement -