Pemuda Perak desak Asmuni tegas dan berprinsip

- Advertisement -
DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) menyatakan rasa kesal diatas sikap tenang tidak bertempat Exco Agama kerajaan Negeri Perak, YB Asmuni Awi berkenaan ulasan beliau berkaitan penghinaan seorang lelaki cina yang menghina Rasulullah SAW secara biadap baru-baru ini. 
 
YB Asmuni Awi seharusnya sedar bahawa penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bukanlah bersifat perkauman. Di Malaysia bukan hanya bangsa Melayu sahaja yang beragama Islam tetapi ada Cina, India, Orang Asli dan bangsa-bangsa lain turut menganut agama Islam ini. Penghinaan terhadap agama bukanlah satu isu kecil yang boleh dibuat main, tetapi ia adalah isu besar yang boleh mencetuskan perbalahan antara agama dan ketegangan keharmonian.
 
Perkara 3(1) telah jelas menyatakan bahawa Islam merupakan agama persekutuan malahan kepercayaan kepada Tuhan adalah elemen pertama dalam rukun negara. Harus diingat bahawa Allah SWT yang mengutuskan Nabi Muhammad SAW. Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW merupakan penghinaan terhadap Islam. Penghinaan terhadap Islam dari rakyat Malaysia yang beragama lain adalah penghinaan terhadap Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
 
Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bukanlah boleh dijadikan sebagai perbincangan ilmiah semata-mata dan bercerita tentang sistem perundangan sahaja. YB Asmuni Awi perlu bezakan isu diantara penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam dengan isu perundangan yang lain. Bahasa angkuh yang digunakan YB Asmuni Awi hingga sanggup “membengongkan” orang lain yang bersungguh untuk pertahankan Rasulullah SAW yang dihina oleh orang kafir sepatutnya tidak keluar dari mulut seorang Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama. 
 
Justeru DPPN Perak mendesak YB Asmuni Awi selaku Exco Agama Kerajaan Negeri Perak untuk lebih tegas dalam perkara melibatkan kepentingan umat Islam. Bersama kita hayati  Firman Allah ini
“Sesungguhnya orang yang mencaci Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat, dan disediakan bagi mereka azab yang hina”
[Al-Ahzab: 57]
 
DPPN Perak menyeru kepada seluruh anggota masyarakat untuk kita saling menghormati diantara satu sama lain. Kedaulatan Islam, perpaduan rakyat, toleransi antara kaum khususnya di Negeri Perak ini perlu dijaga bersama demi kesejahteraan dan keamanan Malaysia.
 
DPPN Perak juga mengajak semua rakyat untuk bersolidariti bersama dalam Himpunan Aman “Demi Rasulullah SAW” pada hari Jumaat  1 Mac 2019 ini di Masjid Negeri, Ipoh selepas solat Jumaat . Bersama kita mempertahankan maruah Islam.
 
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
“Terus Berjuang”
 
USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 27/2/2019
- Advertisement -