Penganut Kristian patut berterima kasih pada Islam?

- Advertisement -

MERESPONS isu penghinaan terhadap Islam dan simbolnya yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini, sememangnya amat wajar umat Islam berasa kesal dengan tindakan provokatif pihak tertentu yang dilihat seperti sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam melalui perkataan, perbuatan dan tulisan yang menyucuk sensitiviti.

- Advertisement -

Apabila umat Islam bangkit bersuara untuk menyatakan pendirian dalam isu berkaitan Islam dan hak bangsa Melayu, tidak patut dikatakan bahawa tindakan tersebut sebagai rasis yang mempergunakan sentimen agama dan perkauman untuk motif politik.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang Sekular sepenuhnya. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 3 Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Perkara 153 meletakkan jaminan untuk hak Bumiputera.

Dalam perbahasan mengenai status Malaysia adakah ia negara Islam atau Sekular, pertikaikan timbul antara golongan Islamis dan golongan Sekular sekitar definisi negara Islam dan negara Sekular serta tafsiran Perkara 3. Pokok pangkalnya bergantung kepada ideologi pihak yang memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Sentimen mempertahankan kedaulatan Islam dan hak Bumiputera boleh dibangkitkan dalam ruang lingkup Perkara 3 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini bukanlah sikap ekstrimis agama atau rasis justeru pihak yang mempersoalkan tindakan inilah yang sebenarnya tidak memahami hak rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam soal pengembangan agama lain kepada orang Islam, Perkara 11 Kurungan 4 memperuntukkan Undang-undang Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dan Undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam.

Dapat difahami di sini bahawa orang Islam bebas dan berhak untuk mengembangkan Islam kepada sesiapa pun yang menjadi rakyat Malaysia tanpa mengira agama manakala agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

Oleh yang demikian usaha yang dilakukan oleh pertubuhan dakwah ataupun individu yang menyampaikan Islam dengan mengambil method perbandingan agama melalui pendekatan dialog intelektual mesti dipertahankan. Sepatutnya tidak timbul kegusaran di kalangan rakyat Malaysia kerana hak berdakwah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Metodologi perbandingan agama secara rasional dan sihat dapat mendekatkan seorang pencari kebenaran kepada jalan kebenaran. Al-Quran mempertahankan hak ini melalui Firman Allah S.W.T:

قُلۡ هَاتُوا۟ بُرۡهَـٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang yang benar”.”

(al-Baqarah: 111)

Perbahasan perbandingan agama tidak semestinya berakhir dengan keganasan atau mencela agama lain tetapi dapat juga ditonjolkan aspek keharmonian.

Sekadar mengambil contoh, sekiranya Islam tidak datang kepada manusia, kewarasan akal lebih mudah menerima logik Yahudi yang memalitkan pelbagai tuduhan rambang kepada Nabi Isa A.S (penganut Kristian memanggil Jesus) yang dilahirkan tanpa bapa. Apa lagi yang boleh dikatakan kepada seorang wanita pria yang mengandung tanpa bersuami?

Namun begitu Nabi Islam yang diakhiri Nabi Muhammad S.A.W yang telah memuliakan dan membela kesucian maruah Sayyidah Maryam A.S dan Nabi Isa A.S, sehingga ada nama surah yang merujuk nama keluarga Sayyidah Maryam A.S (surah Aali ‘Imran) dan surah Maryam:

وَإِذۡ قَالَ ٱللَّهُ یَـٰعِیسَى ٱبۡنَ مَرۡیَمَ ءَأَنتَ قُلۡتَ لِلنَّاسِ ٱتَّخِذُونِی وَأُمِّیَ إِلَـٰهَیۡنِ مِن دُونِ ٱللَّهِۖ قَالَ سُبۡحَـٰنَكَ مَا یَكُونُ لِیۤ أَنۡ أَقُولَ مَا لَیۡسَ لِی بِحَقٍّۚ إِن كُنتُ قُلۡتُهُۥ فَقَدۡ عَلِمۡتَهُۥۚ تَعۡلَمُ مَا فِی نَفۡسِی وَلَاۤ أَعۡلَمُ مَا فِی نَفۡسِكَۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلۡغُیُوبِ (١١٦) مَا قُلۡتُ لَهُمۡ إِلَّا مَاۤ أَمَرۡتَنِی بِهِۦۤ أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّی وَرَبَّكُمۡۚ وَكُنتُ عَلَیۡهِمۡ شَهِیدࣰا مَّا دُمۡتُ فِیهِمۡۖ فَلَمَّا تَوَفَّیۡتَنِی كُنتَ أَنتَ ٱلرَّقِیبَ عَلَیۡهِمۡۚ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ شَهِیدٌ (١١٧)

 “Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. (116) Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ‘ dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu. (117)” 

(Al-Mā’idah: 116-117)

Wahai penganut Kristian, tidak ada seorang Muslim pun yang memandang Jesus seperti pandangan orang Yahudi, kerana Jesus kamu pada pandangan orang Islam ialah seorang Nabi dan Rasulullah, seperti Nabi dan Rasulullah yang lain yang disebut dalam Torah, bukanlah anak tuhan seperti dakwaan gereja ataupun anak yang lahir daripada hubungan luar ikatan perkahwinan yang sah, seperti yang dituduh oleh mereka.

Wahai penganut Kristian, jangan dicaci Nabi Muhammad S.A.W bahkan sebaliknya berterima kasihlah kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menyampaikan Islam kepada manusia, kerana tanpa Islam mungkin nasib penganut Kristian akan lebih buruk.

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN 
Maahad Tahfiz Al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah
Kampung Luat, Lenggong. – HARAKAHDAILY 26/2/2019

- Advertisement -