PAS Johor kecewa penghina Nabi dibebas

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) sangat terkejut dan kecewa dengan keputusan pihak polis yang telah membebaskan individu berbangsa Cina, pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai yang telah memuatkan karikatur biadap menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda.

- Advertisement -

PAS Johor melihat bahawa tindakan tersebut bukan sahaja tidak meredakan keadaan malah ianya mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

Individu tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 hanya direman selama tiga hari kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Sedangkan pada tahun lalu seorang wanita yang menghina Nabi Muhammad SAW telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan dan denda sebanyak RM15,000 yang juga telah disiasat di bawah Seksyen 298.

Mesyuarat PAS Johor yang telah bersidang pada malam tadi (24 Februari 2019) telah membuat keputusan berkaitan dengan isu ini:

i. PAS Johor membantah pembebasan individu tersebut dan mendesak agar beliau dikenakan tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat.

ii. PAS Johor menuntut satu penjelasan daripada pihak berwajib bagi meredakan keresahan umat Islam.

iii. PAS Johor akan mengatur pertemuan dalam masa terdekat dengan Ketua Polis Negeri Johor bagi membincangkan isu penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad yang semakin menjadi-jadi.

Islam Memimpin

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
25 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 25/2/2019

- Advertisement -