Kempen tenggelam kerana ‘Bossku’ dan Tun M?

- Advertisement -

LEBIH seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih berlangsung, dan pelbagai pihak mula meneka-neka kebarangkalian kemenangan berpihak kepada siapa.

- Advertisement -

Empat calon, masing-masing mewakili pelbagai aspirasi dan blok gabungan iaitu BN, PH, Bebas dan PSM.

Namun kemeriahan kempen sepanjang seminggu berlalu sedikit tenggelam akibat isu-isu di peringkat nasional yang jauh lebih besar dibincangkan sama ada dalam alam maya, kedai kopi, pejabat mahupun di dada-dada akhbar.

Antara isunya, pertemuan Tun Dr Mahathir Mohammad dengan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kehadiran bekas Perdana Menteri, Dato; Seri Najib Razak ke Semenyih, isu siasatan SPRM, kenyataan demi kenyataan berbalas antara DAP, Anwar, Mahathir dan PAS selain isu hina Rasulullah SAW yang lebih dibicarakan media berbanding perjalanan kempen calon.

Ramai yang melihat, kehadiran calon pun tidak terlalu dirasai, tidak seperti di PRK Cameron Highlands yang jauh lebih besar liputannya.

Seputar kisah sejak hari penamaan calon, hanya peristiwa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibantu Jabatan Amal Malaysia mengelak dari provokasi pihak tertentu sahaja jadi liputan yang sedikit nampak kesannya.

Selain itu, pergerakan dan nama atau kelebihan terhadap calon kesemua pihak bertanding tidak tertonjol.

Calon PH, Muhammad Aiman Zainali tenggelam dalam kempen yang menyaksikan ketidaksepakatan dalam PH akibat Tun Dr Mahathir Mohammad mutakhir ini dilihat mesra PAS dikenal pasti menjadi punca kempen PH bagai hilang arah.

DAP dan kumpulan pro Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam PH pastinya tidak senang duduk sejak pertemuan Tun M bersama Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, walaupun Tun M seakan bermain persepsi mengkhabarkan pertemuan itu kepada umum.

Natijahnya jentera PKR, DAP, PAN dan sama waktu dengannya tidak kelihatan bersama dalam kempen PH di Semenyih.

Begitupun di kem BN pula, calon anak tempatan, Zakaria Hanafi pula walaupun meredah kempen ke segenap kawasan dalam Semenyih tanpa jemu, namun sambutan kempen khasnya pada hari bekerja amat kurang.

Hanya ketika hari cuti Sabtu, Ahad kebersamaan PAS dan Umno menjayakan kempen dilihat melonjakkan suntikan dan kehadiran awam.

Sementara dua lagi calon dari Bebas, Encik Kentang dan calon PSM, Nil Aziz Afiq menjalani kempen seperti biasa sebagai calon “kurang perhatian” kerana telindung dek dua calon dari gabungan besar PH lawan BN yang lebih diperhatikan.

Namun, kelebihan tersendiri selaku aktivis kebajikan membuatkan kempen Encik Kentang sedikit mendapat perhatian berbanding Nik Aziz.

Pun begitu, tidak dapat dinafikan kehadiran, Dato’ Seri Najib Razak bersama trend “Bossku” sedikit mencuri tumpuan khasnya kepada anak muda.

Baju-baju tertera tulisan Bossku “laku keras” di sepanjang kempen, khasnya sekitar kawasan Tesco Semenyih dan di Bukit Mahkota.

Apapun, hari ini bermula kempen fasa akhir sebelum esok pengundian awal dan Sabtu sebagai hari pembuangan undi, calon BN telah melangkah awal sejak pagi dengan lawatan ke beberapa kawasan termasuk klinik sekitar Bukit Mahkota.

Sementara di sebelah malam, ceramah-ceramah semakin diperbanyakkan oleh BN dan PH dalam menarik perhatian umum penerangan isu semasa.

Mungkinkah kempen fasa kedua ini akan lebih rancak, atau sekali lagi tenggelam kerana isu nasional pertemuan Tun M-Tuan Guru Abdul Hadi dan kehadiran “Bossku”. – HARAKAHDAILY 25/2/2019

- Advertisement -