Bantah pembalakan bakal musnahkan tadahan air

- Advertisement -

LENGGONG: Penduduk merangkumi lebih 100 keluarga di Kampung Changkat Berangan dekat sini membantah rancangan pembalakan di Hutan Simpan Bintang Hijau, khususnya di kawasan tadahan air.

- Advertisement -

Imam Masjid Kampung Changkat Berangan, Mohd Hatta Abdul Aziz berkata, ura-ura pembalakan itu akan membabitkan Kompartmen 156, 157 dan 158 dengan keluasan ribuan hektar.

Menurutnya, kawasan itu adalah kawasan tadahan air di mana terdapat empangan perbekalan air di Lata Air Berbagi untuk ribuan penduduk di Changkat Berangan, Raban, Danglang, Lata Papan dan beberapa buah kampung lagi.

“Telah beberapa kali hendak diambil balak di kawasan itu, tetapi tidak jadi sebab dibantah penduduk.

“Penduduk bantah sebab kawasan itu kawasan tadahan air bagi ribuan penduduk di beberapa kampung,” katanya kepada Harakahdaily ketika nenerima kunjungan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria semalam.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkunjung ke kampung itu untuk mendengar rungutan penduduk mengenai ura-ura pembalakan tersebut.

Mohd Hatta berkata, beberapa tahun lalu penduduk mengadakan piket bagi membantah ura-ura pembalakan di kawasan tadahan air itu, memaksa pihak pemaju menangguhkan rancangan mereka.

Pengerusi Masjid Nasariah, Abdul Hamid Hussien pula berkata, surat bantahan telah dihantar kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini.

Jelasnya, penduduk membantah sekeras-kerasnya rancangan berkenaan dan berharap Menteri Besar mengambil tindakan sewajarnya mengikut bidang kuasa dan undang-undang yang ada bagi membatalkan ura-ura pembalakan itu.

Sementara itu, Razman ketika mengulas hal itu memaklumkan, beliau difahamkan terdapat ketua kampung (bukan Changkat Berangan) yang berkemungkinan telah dijanjikan sesuatu oleh pemaju, lalu bersetuju rancangan itu diteruskan.

Beliau juga difahamkan pihak pemaju akan memberikan sumbangan RM10,000 bagi setiap keluarga sekiranya penduduk bersetuju, manakala peruntukan RM100,000 untuk tujuan penyelenggaraan perbekalan air paip kampung.

Sedangkan ujarnya, jumlah tersebut tidak padan dengan kesan negatif jangka panjang yang akan dialami penduduk sekiranya pembalakan di kawasan tadahan air itu dilakukan.

Justeru itu beliau berharap kerajaan negeri mendengar rungutan penduduk membantah rancangan pembalakan itu yang kesan buruk untuk jangka panjangnya akan dialami mereka.

“Ribuan penduduk, khususnya 100 keluarga di Kampung Changkat Berangan yang akan menerima akibat jangka panjang dengan terjejasnya ekosistem di kawasan tadahan air itu.

“Negeri akan dapat sedikit hasil, pemaju mengaut keuntungan berlipat ganda, sebaliknya panduduk akan menerima kesan buruk untuk jangka masa yang panjang,” kesali beliau.

Tamat. – HARAKAHDAILY 25/2/2019 

IMG 20190225 WA0008

- Advertisement -