Dakwa segera individu hina Nabi SAW

- Advertisement -

PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia (PPUM) dan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) pada hari ini bersepakat untuk mendesak pihak Peguam Negara agar segera mendakwa Foo Sing Wei yang telah dibebaskan atas jaminan polis setelah ditahan kerana memuat naik status menghina Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.

- Advertisement -

Perbuatan beliau bukan sahaja telah mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Malah perbuatan tersebut jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori hingga 5 tahun.

Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap Junjungan Mulia SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

Pemuda Umno dan PAS juga meminta Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memaklumkan status terkini siasatan kepada rakyat terutama umat Islam yang amat marah dan beremosi dengan isu ini.

Justeru sekali lagi kami mendesak agar pihak Peguam Negara menyegerakan pertuduhan terhadap pelaku di mahkamah dan mendakwa beliau di bawah Kanun Keseksaan bagi memberikan isyarat tegas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu yang tidak boleh dikompromikan dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang.

Pemuda Umno dan Pemuda PAS tidak akan teragak-agak untuk kembali menggerakkan rakyat berhimpun secara aman di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia bagi menzahirkan ketidakpuasan hati sekiranya wujud sikap pilih kasih dan tindakan sambil lewa terhadap penjenayah yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW!

DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
24 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 24/2/2019

- Advertisement -