Uncle Kentang buat laporan polis

- Advertisement -

HULU LANGAT: Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, Kuan Chee Heng hari ini telah membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat terhadap bahan kempen beliau.

- Advertisement -

Mengikuti perkembangan tersebut, Harakahdaily menerima pesanan WhatsApp salinan laporan polis dari wakil calon, Liew Yew Fook.

Laporan dibuat oleh Liew mewakili Kuan Chee Heng pada jam 5:30 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Kuan Chee Heng yang dikenali sebagai Uncle Kentang ketika ditemui Harakahdaily di bilik gerakan jenteranya di sini berkata, perbuatan khianat merosakkan kain rentangnya menunjukkan kehadiran beliau sebagai calon bebas digeruni oleh calon-calon PRK Semenyih.

Ujarnya, beliau pagi tadi telah menerima satu panggilan rayuan oleh orang kuat dari pihak lawan supaya memperlahankan gerakan kerja kempen beliau.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan kain rentang calon Bebas, Kuan Chee Heng telah dirosakkan sekitar jam dua ke tiga petang tadi.

Beliau sebelum ini mendedahkan kepada Harakahdaily pada 21 Februari lalu bahawa beliau ada menerima ancaman beberapa hari lalu namun tidak mengendahkan.

Semalam pihak berkuasa mendedahkan sebanyak 24 laporan polis telah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh enam hari kempen PRK Semenyih, sejak 16 Februari lalu.

Jurucakap PRK di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, sepanjang tempoh itu juga, enam kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2019

- Advertisement -