Sokong Tun M walau PAS pembangkang

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dengan tegas mempertahankan tindakan parti itu menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

- Advertisement -

Malah katanya, PAS mempunyai maklumat terdapat usaha pihak tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) mahu menyingkirkan Tun Mahathir.

Beliau turut menggunakan bahasa kiasannya, ‘kalau tak ada angin pokok tak bergoyang’ bagi menguatkan hujah tersebut.

Menurutnya, kadang kala benda yang dinafikan itu boleh jadi benar-benar berlaku kerana telah acap kali nafi dalam perkara-perkara lain.

“Dia ‘kalau tak ada angin pokok tak bergoyang’. Ya, kita ada maklumat, sebab itu yang kita beri sokongan itu.

“Banyak benda yang nafi itu, benda yang sungguh, acap kali dah. Kita akan sokong walaupun dalam keadaan kita jadi pembangkang. Ini kepentingan kepimpinan orang Islam, ini penting,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu, ketika ditanya bahawa parti-parti komponen PH menafikan akan berlaku undi tidak percaya kepada Mahathir.

Justeru, beliau, mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan agar tidak menyalahkan PAS jika Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) kalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

Ini kerana, katanya jika parti Bersatu kalah dalam pilihan raya di Dun Semenyih, DAP dan PKR wajar dipersalahkan kerana mereka tidak bekerja.

“Dan kita bimbang pilihan raya Semenyih ini Bersatu kalah bukannya kerana sebab kita, (tapi) dengan sebab DAP dengan PKR tak kerja.

“Jangan kata kita, dengan sebab mereka tidak bekerja. Jangan salahkan kita, kita sudah nampak DAP dengan PKR tak turun sungguh-sungguh,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/2/2019

- Advertisement -