Apa untungnya Tun ugut PAS?

- Advertisement -

PAS masih lagi belum berjaya diketepikan daripada persaingan politik Malaysia. Walau bagaimana tegar sekalipun mereka mencuba, sehingga kini, PAS masih bertahan kukuh, malah semakin kedap kakinya menahan asakan dari empat penjuru lawan politiknya. Begitulah kuatnya serangan mereka.
 
Serangan segenap sudut itu semata-mata mahu mematikan PAS, satu-satunya parti yang paling bersih di antara kesemua parti yang ada. Oleh kerana bersih, maka mengotorkanlah yang paling baik bagi membuatkan PAS kelihatan sama jijik dengan mereka. Ini adalah sifir mudah dalam politik. Gagal menjadi baik, maka pastikan juga lawan kita itu kelihatan jahat. Jika tidak, jauhlah ketinggalan.
 
Sebagaimana Kafir Quraisy melabelkan Rasulullah sebagai orang gila, tukang sihir pemecah belah masyarakat dan berbagai lagi bentuk dan wajah yang hodoh, ditempelkan dengan nama Baginda. Ia tidak lain hanya kerana kebaikan Rasulullah tidak dapat ditandingi mereka kerana mereka bukan golongan baik. Maka kotorkan nama baik Rasulullah adalah kerja paling mudah.
 
Masih tidak bergerak dengan fitnah terimaan wang  oleh PAS daripada Umno. Setelah tuduhan RM90 juta itu diketepikan dengan baik oleh PAS, kini mereka datang lagi dengan tuduhan terbaharu, menerima RM2.5 juta daripada pembantu Datuk Salleh Said Keruak yang dimasukkan dalam akaun Bank Islam PAS. Manakala sebanyak RM1 juta diserahkan secara tunai pada masa yang yang sama. Tiada lagi Affin Bank.
 
Bagi yang percaya, mereka rasakan ini adalah nafas baharu bagi mereka menyambung oksigen fitnah mereka yang sudah hampir putus itu. Gembira sungguh mereka, mengira-ngira akan hukuman yang bakal PAS terima nanti. Bagi yang yakin dengan PAS, terima kasih kerana anda telah memilih jalan yang benar.
 
Dakwaan demi dakwaan sudah siap diskripkan oleh mereka. Antara serkap jarang mereka ialah PAS terpaksa menyatakan sokongan kepada pimpinan Tun M kerana mahu Tun menyembunyikan rahsia PAS menerima wang Umno itu. Maka PAS dengan terpaksa akan menyokong Tun jika ada pertembungan kuasa dengan parti dalam PH.
 
Yang berakal waras, dakwaan ini sangat lucu kerana PAS bukan seperti pak Menteri di bawah kekuasaan Tun. Pak Menteri itu semuanya dipegang oleh Tun dengan rahsia mereka diikat kemas. Ia akan dibuka bila tiba masanya. Mengaku terima wang rasuah daripada Umno kepada Tun, akan menjadikan PAS hamba abdi Tun buat selama-lamanya, apa lagi PAS memang tidak buat. Sekian lama Tun mahu mengikat PAS, tapi tidak berjaya, tiba-tiba mahu menyerah diri?
 
Jangan dikata PAS yang lemah, Raja-raja Melayu yang mempunyai kuasa imuniti suatu ketika dahulu pun juga tidak terlepas daripada ugutan Tun. Setiap Raja, akan dicarinya beliau, ugutan apakah yang paling sesuai. Almarhum Sultan Mahmud al Muktafi Billah Shah contohnya diugut dengan Tengku Ali, untuk menyaman baginda atas pelucutan jawatan Tengku Ali dahulu. Kisah di zaman Jepun itu pun Tun gali.
 
Waktu itu, hampir setiap malam, TV2 akan menayangkan rancangan “Teater Legenda” yang sepatutnya seminggu sekali, kisah Raja-raja dahulu yang zalim, jahat, bodoh sebagai nilai tambah bagi rakyat membenci Raja-raja. Cerita-cerita seperti Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Lancang Kuning, Hang Jebat menjadi pilihan untuk disiarkan. Begitulah kesungguhan Tun menghapus imuniti Raja-raja Melayu.
 
Ketegasan kenyataan PAS sangat jelas. PAS menyokong PM sehingga tamat tempoh pemerintahan. Bukan kali pertama, ketika DS Najib yang mahu dibuat undi tidak percaya dahulu juga PAS menegaskan akan menyokong DS Najib untuk menghabiskan penggal kekuasaan beliau dahulu. Jangan dijatuhkan melalui cara itu. Cadangan mengekalkan DS Najib sehingga habis tempoh, mulanya dikutuk, tetapi akhirnya diterima.
 
Ketika pembentangan bajet juga PAS dengan tegas menolak beberapa cadangan kerajaan yang dilihat tidak sesuai untuk dilaksanakan. Perdebatan berlaku, berhujah dengan akal dan fakta. Pada akhirnya, ketika undi bagi meluluskan pembentangan bajet tahunan negara, PAS berkecuali, tidak membangkang. Bila ditanya kenapa tidak menolak bajet itu? PAS memberikan jawapan yang sangat baik, kakitangan kerajaan akan terkesan jika bajet tidak diluluskan kerana gaji mereka akan tertahan.
 
Sekarang jika Tun juga mahu diturunkan, PAS akan bersama Tun, tidak membenarkan sebarang rampasan kuasa oleh pihak yang gilakan kuasa. Apatah lagi jika kuasa yang baharu itu sangat-sangat dipercayai akan memberi lebih kuasa kepada DAP tanpa sedar. Jadi, PAS konsisten dengan pendirian mereka. Semua tindakan itu akan dilakukan bagi menjaga kepentingan Islam.
 
Tun juga pada saya, tidaklah dilihat sebagai mengugut PAS secara serius, tetapi membuat penegasan kepada lawan beliau bahawa PAS sudah berkali-kali menekankan akan bersama Tun jika ada perlakuan sumbang yang cuba dilaksanakan oleh lawan Tun nanti. Apatah lagi ketika ini sedang hangat dengan kempen PRK Semenyih.
 
Lebih munasabah untuk difikirkan, PAS, sepertimana yang diketahui semua, sangat menyintai Islam, tidak mahu Islam dijatuhkan oleh golongan pembenci Islam. Tun hanya memerlukan isu keagamaan bagi menarik PAS masuk ke dalam kumpulan beliau. PAS pasti akan membantu jika ia benar-benar memerlukan. Jadi tiada gunanya ugutan-ugutan sebegitu.
 
Sangat naif bagi ahli politik jika percaya bahawa PAS tertekan dengan apa yang dikatakan sebagai ugutan oleh Tun dalam hal ini. Ia tidak lebih sebagai penambah rasa bagi pengfitnah untuk meyakinkan rakyat bahawa tuduhan mereka itu benar belaka.
 
Yang rakyat mahu tahu ialah kenapa tuduhan asyik berubah-ubah oleh pengfitnah. Dahulu PAS terima RM90 juta, duit 1MDB. Apabila diminta oleh mahkamah, kesemua bukti SR itu ditolak. Tuduhan yang berapi-api oleh musuh PAS dengan dakwaan mempunyai bukti yang kuat, gagal diserahkan kepada SPRM. Walaupun diminta berbuat demikian. Dan sekarang tiba-tiba diam membisu.
 
Sepatutnya laporan sudah dibuat bagi menguar-uarkan kepada rakyat bahawa PAS bersekongkol dengan Umno, membaham wang 1MDB, wang rakyat Malaysia. Pimpinan PAS seharusnya ditangkap dan didakwa. Malangnya SPRM kemudiannya pula menjelaskan bahawa tiada bukti kemasukan wang itu ke dalam akaun PAS.
 
Dahulu, Anwar menghadapi dilema seperti ini. Hakim-hakim bertukar-tukar, bukti-bukti berganti-ganti, saksi-saksi berubah-ubah, pendakwaan juga tidak konsisten. Maka penyokong Anwar katakan ia adalah konspirasi politik peringkat tertinggi. Sekarang apabila ia terjadi kepada PAS, tiada lagi konspirasi, ianya benar belaka pada pandangan mereka yang pernah terkena dahulu.

- Advertisement -

Juga untuk difikirkan, jika tiada risiko undi tidak percaya yang disebut PAS, kenapa Tun terima jaminan PAS? Tun juga mahu menunggu bukti itu jika berlaku. Semestinya PAS akan dimarahi Tun kerana menimbulkan kekacauan dalam pentadbiran PH apabila mengeluarkan jaminan itu, sedang PH kukuh dan teguh. Rakyat yang bijak hanya senyum.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
22 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 22/2/2019

- Advertisement -