Solusi tangani hina Nabi dari prinsip WINS

- Advertisement -

ISU penghinaan terhadap Nabi S.A.W yang tular di media sosial baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Ia menunjukkan keadaan interaksi antara agama di negara kita masih tidak stabil walaupun sudah lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan.

- Advertisement -

Penghinaan terhadap kepercayaan mana-mana agama bukan sahaja dilarang di dalam Islam (Al-Anaam:108), malah saya percaya tiada agama yang mengajak penganutnya menghina kepercayaan agama lain.

Daripada mengkritik, ada baiknya untuk kita mencari solusi daripada fenomena yang tidak sihat ini. PAS menganjurkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Kriteria ketiga BPMS adalah politik solusi, bukan sekadar mencari kesalahan pesaing politik sebaliknya menawarkan penyelesaian terhadap kesalahan tersebut.

Dalam menjadikan negara ini sejahtera dari sudut sosialnya selain kemajuan dari berbagai segi, PAS memperkenalkan gagasan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Salah satu antara 10 prinsip yang menjadi tunjang WINS2051 adalah  “Kehidupan beragama sebagai asas kestabilan dan keharmonian antara kaum”.

Prinsip WINS2051 ini selaras dengan Rukun Negara Pertama; Kepercayaan Kepada Tuhan. Prinsip ini secara ringkasnya mengajak rakyat Malaysia untuk hidup berteraskan pegangan terhadap agama yang tinggi. Bukan bermaksud semua perlu berpegang kepada Islam kerana Islam tidak boleh memaksa orang menganut Islam (al-Baqarah: 257), tetapi ia lebih bermaksud supaya setiap orang kembali kepada ajaran agama masing-masing (al-Kafirun: 6).

Tujuannya adalah kerana PAS percaya bahawa kepercayaan beragama dan bertuhan boleh membentuk peribadi seseorang lebih bermoral. Ini kerana masing-masing percaya bahawa ada tuhan yang mengawasi setiap tingkah laku dan akan memberikan ganjaran jika berbuat baik dan hukuman jika berbuat kejahatan.

Punca masalah moral masyarakat moden hari ini adalah kerana ramai yang sudah tidak berpegang kepada ajaran agama masing-masing. Baik Islam, Kristian, Buddha mahupun Hindu, masing-masing tidak menghayati ajaran daripada sama ada al-Quran, Bible, Veda atau mana-mana kitab kepercayaan. Agama hanya menjadi tulisan pada kad pengenalan, tetapi tidak pada jati diri. Kebanyakannya berpegang kepada ideologi Free-Thinker, Sekularisme dan Atheisme.

Dari sudut dakwah, ajakan kepada kembali kepada ajaran agama masing-masing ini adalah selaras dengan anjuran al-Quran (Ali-Imran: 64). Apabila semua pihak kembali kepada agama yang dipilih, mereka perlulah benar-benar memahami agama yang mereka anuti. Mereka mengkaji dan mendalami konsep agama masing-masing. 

Apabila dilihat terdapat kekeliruan, mereka boleh untuk merungkai kekusutan dengan merujuk kepada agamawan masing-masing. Sekiranya tidak selesai, agamawan boleh berdialog secara harmoni dalam erti mencari kebenaran. 

Sebagai orang Islam, kita perlu yakin bahawa Islam adalah agama yang benar. Justeru kita tidak perlu bimbang dengan dialog antara agama kerana Islam adalah agama yang berdiri di atas hujah. Tetapi garis panduan penganjurannya haruslah jelas supaya tidak membawa kepada pluralisasi agama yang ditentang oleh semua agama.

Di samping itu, kita boleh menjadikan dialog sebagai pentas dakwah supaya orang lebih memahami Islam dengan fikiran yang terbuka (ar-Room: 69). Ia lebih baik daripada kita mengeksklusifkan Islam sehingga orang bukan Islam memahami Islam daripada sumber yang salah. Dan itulah yang mungkin menjadi sebab wujudnya penghinaan terhadap ajaran agama ini.

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
16 Jumadal Ukhra 1440
20 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 20/2/2019

 

 

- Advertisement -