Signal bermulanya ‘Coup d’état’ jelmaan DAP

- Advertisement -

BERIKUTAN pendedahan PAS berkemungkinan besar akan berlakunya undi tidak percaya terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung tidak lama lagi, pimpinan utama DAP, PKR dan PAN mula gelabah dan masing-masing menafikan akan berlaku mahupun merancang perkara tersebut. Baik Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Mat Sabu, kesemua mereka menafikan perkara tersebut.

- Advertisement -

Akibat daripada pendedahan tersebut, selain daripada beria-ia menafikan perkara tersebut serta gerakan mereka dihidu Tun Dr Mahathir, mereka tiada jalan lain selain menggerakkannya agar tidak dipatahkan di tengah jalan yang membawa bencana lebih buruk kerana mereka tahu akibatnya. DAP paling awal menzahirkannya dengan bekas Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau menggesa Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Gesaan beliau menerima kecaman hebat daripada pimpinan Bersatu seluruh negara namun tiada satu pun pimpinan utama daripada DAP, PKR dan PAN menempelak atau menyuruh Dr Boo Cheng Hau menarik balik kenyataan tersebut serta meminta maaf walaupun setelah 24 jam diucapkan. Menggesa seorang pemimpin utama PH meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah satu gesaan yang cukup besar dan berat namun tidakkah kita pelik kerana kesemua pimpinan utama PH diam seribu bahasa?

Adakah sebenarnya mereka sependapat dan bersetuju dengan tindakan serta ucapan Dr Boo Cheng Hau lalu mereka semua sepakat untuk diam seribu bahasa? Jika benar, ia sebenarnya tanda awal apa yang dijangka oleh PAS akan berlaku tidak lama lagi.

Wajibnya pimpinan utama PH menempelak kenyataan tersebut dan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH namun tiada seorang pun berbuat demikian. Ia sebenarnya cukup ajaib serta menghairankan. Apa sudah berlaku kepada Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mat Sabu atau sebenarnya itulah tanda awal atau permulaan perancangan mereka?

Ramai pimpinan PH berkata tuduhan PAS tidak berasas. Mereka kata PAS hanya bermain isu untuk mengalihkan tumpuan terhadap siasatan tuduhan menerima RM90 juta wang milik 1MDB daripada Umno. Satu dunia tahu SPRM sedang menyiasat perkara tersebut dan PAS telah berkerjasama dengan baik malah memberikan kesemua dokumen dan akaun milik PAS kepada SPRM. PAS percaya SPRM mempunyai integriti yang cukup tinggi serta mempunyai pegawai yang cukup berdedikasi dan jujur. Celah mana yang alih isu atau sebenarnya mereka yang sedang cuba alih isu dan perkara sebenar?

Sebenarnya memang mereka hanya menggunakan Tun Dr Mahathir sebagai batu loncatan untuk memenangi PRU14 terutamanya DAP. Mereka merancang dengan cukup rapi hingga ramai yang terpedaya lalu mengundi PH dalam PRU yang lalu. PKR terutamanya Anwar Ibrahim sudah tentu cukup bersetuju apatah lagi DAP telah berjanji akan menyokongnya menjadi Perdana Menteri setelah mengenepikan Tun Dr Mahathir. PAN seperti ramai telah maklum hanya menjadi “Pok Angguk” DAP apatah lagi setelah dijanjikan jawatan dan kuasa kerana itu sebenarnya matlamat mereka.

Lihat sahaja ucapan dalam ceramah Nga Kor Meng ketika PRU14 yang lalu. Melihat kepada ucapan ceramahnya sudah cukup membuatkan kita mual dan muntah dengan kata-kata beliau terhadap Tun Dr Mahahtir. Tidak cukup jelas lagikah untuk kita bagaimana DAP hanya menggunakan Tun Dr Mahahtir untuk mencapai cita-cita mereka yang sudah tentu menggembirakan teman rapat mereka seperti PKR dan PAN kerana mendapat manfaat dan faedah?

Bangunan yang kukuh dan cukup kuat tidak akan terhayun bergoncang kemudian runtuh jika tidak berlaku gempa bumi. Jelas sekarang sudah retak dan senget, hanya menunggu gempa bumi sahaja berlaku.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/2/2019

 

- Advertisement -