Kalau tak bergolak, kenapa desak Tun M berundur?

- Advertisement -

“TIADA angin masakan pokok bergoyang,” perumpamaan ini kena dengan situasi sekarang, apatah lagi yang tak makan cili tiba-tiba rasa pedas, melaung memekik marahkan PAS.

- Advertisement -

Yang menjadi sasaran di PRK Semenyih juga PAS walau PH lawan BN, Bebas dan PSM secara mutlak.

Tak nampak PH serang BN seperti sebelum ini, mengungkit-ungkit kisah silam BN, tetapi yang menjadi fokus utama PAS.

Pelik lagi ajaib, malah Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula dilihat amat bersungguh menafikan berlaku pergolakan dalam Pakatan Harapan, walaupun PAS hanya menyatakan partinya menghidu semacam satu usaha menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenapa Anwar yang (kalau tidak kena mengena) harus menyerang dan mendakwa PAS bohong jika hakikatnya tidak berlaku perpecahan?

Dari kata-kata Anwar, jelas kelihatan beliau marah kepada PAS selepas Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan mendedahkan “ada perkara yang tak kena dalam PH”.

Anwar sebelum ini ada menyebut bahawa beliau akan menjadi PM (menggantikan Mahathir) dalam jangkamasa tidak sampai dua tahun seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Maknanya ada usaha dalam kalangan kumpulan pro-Anwar dalam PH berusaha mahu memastikan Presiden PKR itu menggantikan Mahathir secepat mungkin.

Tidakkan Mahathir tahu hal ini, dan tidakkah umum juga tahu usaha ini kerana pergolakan dalam pemilihan PKR sebelum ini antara kem Rafizi Ramli dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali adalah juga kerana isu Anwar mahu dinobat sebagai PM secepat mungkin menggantikan Mahathir?

Bayang-bayang Mahathir sebenarnya sentiasa menghantui Anwar, dan episod kali ini lebih terbuka sifat perangnya kerana Anwar dan kumpulannya secara terang menongkah arus berdepan Mahathir.

Sebagai orang lama dalam politik, Mahathir dapat menghidu semua pergerakan ini dengan “mashinery” yang ada, malah pada tahun 1998 sebelum isu skandal Liwat Anwar sekalipun, ia juga telah terhidu dek Mahathir akan gerakan “bawah tikar” oleh Anwar yang ketika itu Timbalan PM.

Anwar lupa, PAS banyak berjasa kepadanya semasa aksi Reformasi 1998 membawa kejayaan mengecilkan majoriti BN pada PRU 1999 semasa difitnah sebagai peliwat oleh Tun M.

Namun Anwar lupa semua itu, malah Anwar lupa bahawa PAS amat mengenali batang tubuh Anwar dengan sikap politiknya.

Anwar tak mampu menyimpan kemas rahsianya apabila sekutu baiknya sejak zaman PR hingga PH lagi iaitu DAP telah mendedahkan wajah sebenar kem Pro Anwar.

Lihat DAP Johor memulakan langkah dengan mendesak Mahathir melepas jawatan segera atas alasan tidak seaspirasi dalam manifesto PH.

Nah, inikan “retak”, mahu bukti lagi, para penyokong kedua belah pihak harus melihat siri-siri ucapan antara Anwar dan Mahathir juga sekutu-sekutunya.

Nah yang nak disalahkan dan diserang PAS kenapa?

Seorang sahabat penulis menulis dalam laman sosialnya berbunyi “Kebiasaannya, orang yang salah dia akan gelabah dan berubah menjadi agresif”…Tepat pada maksud dan senario yang berlaku ketika ini, walau Anwar nafikan, kerana cemas dan takut perancangan telah dihidu sang ketua yang telah bertemu dan berbicara bersama PAS.

Adegan selepas ini lebih menarik, maka bermula lah tayangan filem hebat untuk ditonton sambil mengunyah “popcorn” perisa karamel. – HARAKAHDAILY 20/2/2019

- Advertisement -