Ahli keluarga kuasai jawatan Kerajaan?

- Advertisement -

KEKECEWAAN dalam kalangan ahli kariah masjid di negeri ini terhadap bayangan yang menjurus kepada campur tangan politik sudah tidak dapat dibendung lagi. Rata-rata sedang mempersoal ‘lantikan politik’ yang dilihat sedang dicatur ke institusi umat Islam itu.

- Advertisement -

Hakikat ini sukar dinafikan, tetapi berkembang menjadi persepsi lantaran pihak bertanggungjawab hingga kini gagal memberi penjelasan atau menanganinya. Paling menjadi buah mulut apabila senarai nama dipaparkan menunjukkan individu-individu dari parti politik sama.

Pengaruh politik terutama melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga dimaklumkan bertindak ‘mencengkam’ hingga cuba menentukan pelantikan Jawatankuasa Masjid. Sikap ‘gila kuasa’ pihak terbabit telah menimbulkan ketidakharmonian dan membibitkan perpecahan dalam masyarakat akar umbi.

‘Wacana’ rakyat semakin panas berikutan lantikan juga dibuat melibatkan individu yang mempunyai ikatan atau hubungan kekeluargaan. Antara paling ketara, Ketua Wanita PAN Melaka, Datin Mahani Othman Basir dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pusat Zakat Melaka (PZM).

Walhal, beliau adalah isteri kepada Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Keadaan itu mendedahkan kepada kewujudan konflik kepentingan amat berat yang boleh mempengaruhi integriti dan peranan.

Ini kerana PZM adalah antara agensi yang berada di bawah MAIM itu sendiri. Apakah pimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari sedia berhadapan kecurigaan dan kemungkinan berkaitan salah guna kuasa, penyelewengan dan pelbagai skandal yang berisiko terjadi?

Adly tidak harus meletakkan pentadbirannya pada situasi perangkap atau jerat sendiri. Kerajaan tidak harus menjadi seperti ‘kabinet dapur’ atau berurusan ‘dalam selimut’ yang pasti berlaku kepincangan. Budaya kronisme dan nepotisme mesti dikuburkan agar tidak wujud lagi.

Islam Memimpin”
“Terus Mara”

USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 19/2/2019

- Advertisement -