Tipu sijil: Pemimpin, wawasan negara tercemar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika rakyat begitu mahukan perubahan tetapi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula terpaksa menghadapi isu Menteri yang tidak punya kompetensi serta tidak berkemampuan.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kelayakan akademik selain merupakan integriti, ia juga adalah aspek kebertanggungjawaban dan komitmen.

“Jadi, ia penting untuk seorang Menteri dalam menjalankan tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat. Kerana rakyat mahukan negara yang maju, membangun, apatah lagi kita punyai Wawasan 2020.

“Walaupun ‘extanded’ daripada tarikh sebenar ke 2024, tapi asasnya visi Tun sebagai PM mahu kita capai elemen wawasan itu. Jadi negara terletak pada kepimpinan, iaitulah Menteri-menterinya,” ujar beliau.

Pun begitu katanya, terserah kepada Tun M untuk menangani kesalahan tersebut dan biarpun dirasakan mereka itu tetap layak atas pengalaman tertentu, permohonan maaf kepada awam turut perlu dilakukan.

Jelasnya, perubahan rakyat yang berlaku sebenarnya turut menuntut soal budaya kejujuran, integriti, amanah dan kesungguhan untuk maju terutamanya generasi muda melihat Malaysia membangun.

Oleh itu tegasnya, pembohongan yang berlaku telah mencemarkan kepimpinan sedangkan pembinaan negara perlukan pasukan kuat dan kompeten dalam menghadapi dunia kompetitif hari ini.

Ir Khairil turut mencadangkan, jika sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengadakan semakan insolvensi calon, maka kelayakan akademik juga dapat dibuat oleh badan itu.

Ini katanya, supaya calon-calon tidak menipu kelayakan akademik yang dimaklumkan dalam kempen pilihan raya demi menjaga kredibiliti dan melahirkan pemimpin untuk menerajui negara. – HARAKAHDAILY 18/2/2019

- Advertisement -