Tipu kelulusan bererti hina pengiktirafan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha mendapatkan kelayakan akademik terbaik merupakan satu pengorbanan yang berkait dengan pengiktirafan kredibiliti dan kompetensi serta kepakaran seseorang.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, dengan kelayakan diiktiraf itu membolehkan seseorang diyakini bagi memberi sesuatu yang terbaik kepada pihak lain.

Tetapi ujarnya, dengan penipuan terjadi dan dipertahankan, ianya menyebabkan mereka yang berusaha memperolehi kelayakan akademik merasa terhina oleh perbuatan sedemikian.

Iaitu jelasnya, sama ada kepada syarikat yang ia memohon pekerjaan atau kepada rakyat untuk khidmatnya, tetapi jika sebaliknya iaitu kelayakan palsu, maka ianya adalah penipuan.

“Mana-mana syarikat peringkat nasional atau antarabangsa, perkara asas bila kita hendak ambil orang bekerja ialah melihat kualifikasinya. Jika berlaku penipuan, kita panggil ‘fatal offence‘.

“Ia bukan sekadar dibuang kerja atau tidak akan dapat kerja, malah disenarai hitam kepada semua industri. Kerana syarikat-syarikat juga ada ‘trailing of emails‘ yang jadi komunikasi mengenai hal ini,” terangnya.

Tegas beliau, di bidang pekerjaan, kelayakan akademik adalah kombinasi pengalaman dan kualifikasi di mana dalam konteks politik, ianya soal jawatan Menteri yang berkait representasi berkait Kementeriannya.

Oleh itu kata Ir Khairil, jika penipuan berlaku oleh Menteri, bermakna ia bermula sejak proses pilihan raya lagi dan perlu diingat kualifikasi akan memberi kesan dalam kepercayaan juga di peringkat dunia.

Kerana katanya, hal tersebut juga berkait dengan perihal sistem dan akreditasi di mana penipuan kepada kelayakan akademik akan menyebabkan dipertikai terhadap kejujuran, amanah dan integriti.

“Misalnya dalam industri minyak dan gas, soal kompetensi ini memainkan peranan kerana melibatkan nyawa. Begitu juga seorang Menteri, beliau adalah ‘decision maker’.

“Barangkali di peringkat PTD, Ketua Setiausaha dan sebagainya ada undang-undang bawah Jabatan Perkhidmatan Awam dan akan ada tindakan boleh dikenakan (sekiranya menipu kelayakan akademik),” ujarnya lagi.

Kerana itulah menurut beliau, PAS menggagaskan Kerajaan Teknokrat yang menghala untuk meletakkan Menteri Kabinet kelak kepada berteraskan kombinasi kompetensi, kualifikasi dan pengalaman. – HARAKAHDAILY 18/2/2019

- Advertisement -