Surat perakuan sokong PM: PAS bimbang Tun M dikhianati

- Advertisement -

MARANG: PAS mengesahkan surat perakuan bertulis yang diserah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertemuan Jumaat lalu adalah surat sokongan ke atas Perdana Menteri (PM) itu atas dasar mempertahan agama, bangsa dan keselamatan negara.

- Advertisement -

Ia adalah kebimbangan terhadap sebarang usaha sabotaj dalaman komponen Pakatan Harapan (PH) terhadap kedudukan PM selaku peneraju negara.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Dato Takiyuddin Hassan, perakuan bertulis berbentuk contoh yang diserahkan PAS kepada PM itu adalah untuk menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Pengerusi Bersatu itu jika berlaku pengkhianatan yang dimaksudkan.

Kata Takiyuddin, PAS dan Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menghidu seolah-olah ada sesuatu tidak kena akan berlaku dalam kerajaan.

Hujahnya kata Takiyuddin, ia melihat kepada kenyataan Dr Mahathir sebelum ini bahawa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana parti komponen PH yang melakukan pengkhianatan kepada negara.

“Berdasarkan kenyataan Dr Mahathir itu, PAS melihat ia satu perkara yang merbahaya kepada negara. Oleh sebab itu saya sendiri mengusulkan surat akujanji bahawa apa-apa yang berlaku kepada Dr Mahathir atau kepimpinannya, PAS akan bersama beliau itu jelas,” kata Takiyuddin semasa sidang media di sini, semalam.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat Harian PAS Pusat antara lain berikutan pertemuan Presiden dengan Tun Mahathir jumaat lepas dan beberapa kenyataan PM selepas pertemuan itu.

Pada Jumaat lalu, Tuan Guru Abdul Hadi bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan pertemuan dengan PM di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan rasminya, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, perakuan bertulis yang berbentuk contoh diberikan sebagai komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan Dr Mahathir atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pula berkata, berkata PAS yang mempunyai 18 Ahli Parlimen akan memberikan komitmen untuk bersama-sama dengan Dr Mahathir untuk memastikan beliau terus memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

Katanya, komitmen ini adalah kerana melihat kepada kenyataan PM sebelum ini yang dirasakan akan berlaku satu pengkhianatan ke atas Pengerusi Bersatu itu.

Hadir sama semasa sidang media itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan dan anggota dewan harian yang lain. – HARAKAHDAILY 18/2/2019

- Advertisement -