Izinkan demokrasi negara berkembang subur

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah hari ini menasihati semua pihak terus memastikan demokrasi terus subur di Malaysia.

- Advertisement -

Negara kita adalah negara demokrasi dan semua pihak akan dilindungi hak mereka dalam perlembagaan.

Ini berikutan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengembangkan sayapnya ke Negeri Sabah.

PAS Sabah melihat kepelbagaian parti politik dengan agenda perjuangan masing-masing adalah salah satu perkara yang harus diraikan dalam sebuah negara demokrasi. PAS Sabah beranggapan bahawa ia tidak ada kaitan dengan maju atau mundurnya sesebuah negeri. Perkara yang paling penting ialah setiap parti politik tidak membawa ideologi yang melampau dan menindas masyarakat atau dengan polisi dan dasar yang tidak menentu.

Paling utama adalah pemimpin atau wakil rakyat mestilah menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

Saya penuh yakin biarpun pada asasnya ada parti-parti tertentu yang ‘berasal’ dari Semenanjung tetapi wakil yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya pastinya anak jati Sabah.

Sabah sudah banyak pengalaman diperintah oleh pelbagai parti politik sama ada berteraskan parti tempatan atau ‘parti Semenanjung’. Walau bagaimanapun secara umumnya mereka tidak menekankan kepada pembangunan Sabah secara berkesan. Ini yang menyebabkan sehingga sekarang Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pendidikan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Sebab itulah dalam konteks PAS, kita sangat menekankan kepada kualiti beragama. PAS Sabah sangat yakin bahawa mereka yang patuh pada agama tidak akan melakukan penyalahgunaan kuasa kerana keyakinan terhadap adanya balasan daripada pencipta. Ini terbukti dalam pemerintahan negeri Kelantan yang sudah mencapai 29 tahun di bawah pemerintahan PAS tetapi tidak ada walaupun satu kes rasuah. Cuma yang timbul sekarang adalah usaha memburukkan PAS walaupun tiada sebarang bukti.

Maka PAS Sabah berharap perjuangan semua parti politik mestilah memberikan keutamaan kepada pembelaan rakyat dan pembangunan Sabah yang masih jauh ketinggalan.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
18 Februari 2019- HARAKAHDAILY 18/2/2019

- Advertisement -