Bukan tinggal terus susu ibu

- Advertisement -

TIDAK perlu bersangatan memarahi ibu-ibu yang mengambil keputusan untuk meneruskan penyusuan anak mereka sehingga genap dua tahun. Kita pun menyarankan pemberian susu ibu itu boleh diteruskan sehingga dua tahun.

- Advertisement -

Namun makanan pelengkap haruslah diberikan seawal bayi berumur enam bulan bagi memberikan jizi lengkap makanan sesuai dengan berat badan dan usia bayi yang semakin bertambah.

Menjadi kegusaran kita apabila segelintir dari mereka berkeras untuk memberi hanya susu ibu semata-mata tanpa makanan pelengkap bayi selepas enam bulan. Keputusan mereka berbuat demikian mungkin atas salah faham mengambil penafsiran ayat Al-Quran yang menyarankan susu ibu selama dua tahun.

Tulisan ini menjawab golongan yang bermati-matian pertahan extended exclusive breast feeding (EEBF) yang menyusu bayi mereka hingga dua tahun tanpa makanan pelengkap. Malah mereka mula mengecam dan menuduh saranan dari doktor dan pakar nutrisi sebagai tidak mengikuti sunah dan berkefahaman barat.

Ketahuilah bahawa fahaman mereka yang terlalu totok itu adalah satu kefahaman karut yang direka-reka oleh mereka yang tidak melihat secara menyeluruh penafsiran Al-Quran, hadis serta alim ulama.

Dipaparkan di sini jawapan daripada Ustaz Ahmad Tarmizi Taha apabila ahli jemaah pusat talaqqi bertanyakan mengenai isu tersebut.

Soalan yang dikemukakan adalah: Kalau ikutkan dalam Al-Quran ada ayat yang ceritakan tentang penyusuan anak sebaiknya sehingga umur dua tahun. Sebagaimana ayat Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 233, fuqaha keluarkan hukum berkait dengan najis mukhaffafah bagi bayi. Bagaimana aplikasi hukum dan kefahaman ayat ini sedangkan kalau diikutkan nasihat doktor bayi perlu diberikan makanan tambahan bermula umur enam bulan?

Ulasan Al-Fadhil Ustaz:

Ayat yang berkaitan pemakanan kanak-kanak secara khusus tidak dinyatakan oleh Al-Quran. Menurut tabiat Al-Quran, keperluan asasi manusia dalam menerus kehidupan ini Al-Quran menerangkannya secara umum. Ia bukan bertindak sebagai satu hukum syariat dalam pengamalan kehidupan asasi.

Al-Quran hanya beri garis panduan umum iaitu: Memilih makanan halal dan baik, bersederhana, jangan melampau, jangan memakan bangkai dan sebagainya. Hal-hal keduniaan dan urusan yang berkaitan, Al-Quran mengarahkan bertanya kepada siapa yang ahli dalam sesuatu urusan itu.

Berkaitan makanan yang sesuai untuk peringkat umur pula, ianya tidak dinyatakan oleh Al-Quran kerana perkara ini terserah kepada pakar pemakanan. Jika terdapat kajian yang telah dibuat bahawa makanan pelengkap bermula enam bulan, bermakna ini adalah saranan pakar yang perlu diikuti. Boleh lihat kajian ini yang mengesyorkan makanan pelengkap perlu diberikan kepada bayi setelah usia enam bulan [1].

Ini kerana jizi pemakanan bayi perlu ditambah selain dari susu ibu semasa proses pembesaran [2]. Bayi akan membesar dua kali ganda pada enam bulan pertama dan tiga kali ganda pada 12 bulan pertama kehidupan.

Makanan pelengkap penting bagi perkembangan fizikal dan mental serta spiritual. Bukan bermakna meninggalkan terus susu ibu. Susu ibu juga penting sehingga bayi mencecah umur 24 bulan seperti mana dinukilkan dalam Al-Quran (ertinya): Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqman: ayat 14)

Had dua tahun umur kanak-kanak lelaki yang berkaitan najis mukhaffah bukan bermakna tidak boleh diberi makanan tambahan kepadanya.

Sandaran yang kuat kenyataan ini ialah jika benar tidak sesuai diberi makanan tambahan kepada kanak-kanak sebelum berusia dua tahun berdasarkan kenyataan tersebut, nescaya yang terlibat dengan kenyataan ini adalah kanak-kanak lelaki sahaja kerana air kencing kanak-kanak perempuan adalah najis mutawassitah sejak dia dilahirkan.

1) Adakah boleh kita kata pemakanan kanak-kanak lelaki berbeza dengan pemakanan kanak-kanak perempuan?

2) Jika bayi masih menyusu susu ibu, tetapi ditambah dengan makanan lain yang tidak berat sebelum umur dua tahun, apakah hukum najis mukhaffafah itu masih teraplikasi?

Jika maksud tidak berat dengan makna tidak mengenyangkan, hukum najis mukhaffafah masih terpakai.

Rujukan:
[1] Effects of Exclusive Breastfeeding for Four versus Six Months on Maternal Nutritional Status and Infant Motor Development: Results of Two Randomized Trials in Honduras.

[2] Nutrition, Growth, and Complementary Feeding of The Brestfed Infant.

Tulisan ini disunting oleh Dr Suhazeli Abdullah.

- Advertisement -