SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

- Advertisement -

HULU LANGAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih bakal mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan dinamik demografi penduduk Semenyih itu sendiri.

Beliau yang bercakap pada sidang media selepas penamaan calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini, hari ini, berharap penduduk Semenyih akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

Peratus pengundi Melayu di Semenyih mencapai 70 peratus, diikuti pengundi Cina, 17 peratus dan India 13 peratus.

PRK Dun Semenyih pada 2 Mac nanti diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

BN meletakkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi sebagai calon manakala PH mempertaruhkan jurutera muda, Muhammad Aiman Zainali, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meletakkan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon dan seorang calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Dun Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac depan sementara pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini. – HARAKAHDAILY 16/2/2019

- Advertisement -