PRK Semenyih: Kajian Tok Mat vs IDE

- Advertisement -

DUA kajian berbeza, satu kajian balas spontan secara sinikal, satu lagi kajian institut yang sedikit cenderung kepada Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

- Advertisement -

Namun apa yang menariknya, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) memperlihatkan fakta bahawa undi PH akan menurun kali ini, apatah lagi dalam suasana ramai dalam kalangan rakyat masih terkesan dengan isu janji manifesto dicapati oleh PH.

“Saya ada kajian, Institut Mohammad Haji Hassan,” Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohammad Hassan, bekas MB Negeri Sembilan dilihat bagai berseloroh, tapi maksudnya mendalam apabila menjawab mengenai keputusan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai potensi parti-parti bertanding memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih yang sedang berjalan ketika ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Mohamad Hasan secara sinis mendakwa BN kini mendapat sokongan 55 peratus sekali gus mendahului Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

Menurut Mohammad Hassan, atau lebih mesra digelar “Tok Mat” itu juga, peratusan tersebut hasil dapatan kajian yang dijalankan oleh Institut Mohamad Haji Hassan.

“Saya tidak kata tidak percaya tapi Institut Mohamad Haji Hasan kata kita 55 peratus.

“Kita tak perlu rasa kecil yang penting kita mesti bekerja dan bertugas untuk memastikan dan meyakinkan pengundi,” katanya, walau mukanya serius, tetapi ramai yang tertawa kerana jawapan cukup sinikal itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pengumuman dan pengenalan calon BN bagi PRK Semenyih di Pusat Gerakan BN, Plaza Dato’ Mohd. Said, Semenyih, baru-baru ini.

Media melaporkan PH mendahului dengan sembilan peratus daripada BN dalam PRK Semenyih berdasarkan dapatan kajian lapangan IDE pada 31 Januari hingga 1 Februari lalu.

Timbalan Pengerusi IDE, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, sokongan terhadap PH masih tinggi dengan 46 peratus berbanding BN yang hanya mendapat 37 peratus.

Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan sembilan peratus daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih berdasarkan dapatan Kajian Lapangan badan penyelidik pilihan raya Institut Darul Ehsan (IDE) pada 31 Jan hingga 1 Februari 2019.

Dr Mohammad Redzuan berkata sokongan terhadap PH masih tinggi dengan 46 peratus berbanding parti Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 37 peratus.

Namun kajian itu juga menyatakan ia peratusan berdasarkan menjelang proses penamaan calon pada Sabtu.

Dr Mohammad Redzuan berkata demikian pada sidang media IDE yang berjudul “PRK N.24 Dun Semenyih: Apa Pilihan Pengundi” di Auditorium Institut Darul Ehsan di Shah Alam, Selangor pada 14 Februari.

Bagaimanapun, kajian sokongan untuk PH dalam PRK tersebut menurun berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

Kajian tersebut menunjukkan PH hanya akan mendapat peratusan sokongan 46 peratus berbanding dengan peratusan sokongan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu pada 50 peratus.

Kata Dr Mohamed Redzuan, penentuan PRK kali ini terletak pada pengundi atas pagar dan pengundi yang belum membuat keputusan dalam lingkungan 17 peratus.

Kajian tersebut dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan 1,142 orang responden daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain yang berlangsung selama tiga hari dari 31 Jan hingga 1 Feb 2019.

Tambahnya, daripada kajian tersebut, trend pengundian menunjukkan 50 peratus pengundi telah membuat keputusan untuk mengundi calon daripada parti tertentu namun 28 peratus lagi hanya akan membuat pilihan menjelang hari pengundian.

Bagi Dr Mohamed Redzuan, tempoh 48 jam terakhir sebelum hari pengundian sebenarnya boleh menentukan pola pengundian dan mampu menggambarkan calon daripada parti mana yang akan memenangi kerusi dipertandingkan.

Sementara itu, beliau berkata walaupun tahap sokongan pengundi berpuas hati terhadap kerajaan PH masih tinggi, namun terdapat dua isu yang mempengaruhi serba sedikit tentang persepsi berkenaan iaitu berkaitan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Melihat dua kajian ini, memperlihatkan bahawa peluang yang dimiliki kedua-dua pihak (terbesar) sebenarnya sama rata.

Mungkin merosot?

Walaupun PH mempunyai kelebihan 9 peratus, namun harus diingat bahawa PRK kali ini adalah berbeza situasinya selepas sembilan bulan PH menerajui negara.

PH juga dalam keadaan berantakan apabila DAP dilihat mula menampakkan wajah tidak senang duduknya terhadap Bersatu apabila semakin ramai MP Umno menyertai Bersatu.

DAP mahu bertindak sebagai ‘Abang Long’ dan mengarah semua hal dalam kabinet mahupun PH, sedang mereka lupa bahawa mereka berdepan seorang negarawan, Tun Mahathir Mohamad yang pernah menerajui negara 22 tahun.

Selok belok politik, rencah dalam pentadbiran negara pastinya Tun Mahathir lebih arif, dan kini nyata memperlihatkan sedikit demi sedikit kegagalan menteri dalam kalangan PH menuruti perancangan PM.

Senario ini menyebabkan pertelagahan secara “senyap” awalnya dan kini semakin terbuka yang diibaratkan sebagai retak menanti belah.

Natijahnya kedengaran ada calon yang mungkin sahaja di belakangnya adalah DAP di PRK Semenyih untuk setidak-tidaknya memberi gangguan terhadap sokongan calon Bersatu.

Jika keadaan ini berlarutan, maka peratusan kajian yang menyebelahi PH dalam kajian IDE bagi PRK kali ini boleh sahaja mengecil, atau menjadi defisit.

Perlu diingat, kemasukan calon Bebas, Mr Kuan Chee Heng (Encik Kentang) juga memberi kesan kerana watak aktivis kebajikan yang dibawanya, selain kehadiran calon muda PSM, Nik Aziz Afiq yang mana Semenyih merupakan kubu kuat PSM walau tidak pernah berjaya menang.

Perpecahan dalaman antara PH boleh sahaja menyumbang kepada setidak-tidaknya kemerosotan undi mereka, dan tidak mustahil, BN boleh menang kerana PAS-BN dan NGO yang bersama persefahaman ini dilihat alternatif terbaik di Semenyih dalam menghantar suara pembangkang di Dun Selangor.

PRK Dun Semenyih pada 2 Mac nanti diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Pakatan Harapan pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PH yang menawan Semenyih pada pilihan raya umum lalu, menamakan jurutera muda Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon manakala BN mempertaruhkan pemimpin tempatan, Zakaria Hanafi, 58.

Parti Sosialis Malaysia pula menamakan Nik Aziz Afiq Abdul, 25, sebagai calon manakala Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, turut menyatakan kesediaan. – HARAKAHDAILY 16/2/2019

- Advertisement -