TAHNIAH buat Jabatan Amal Malaysia. Terbukti selama ini Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengamalkan sikap professionalisma yang tinggi dalam menghulurkan bantuan dan pertolongan dalam pelbagai sudut dan bidang tanpa mengira fahaman politik, agama, kaum dan kepentingan.
Insiden membabitkan Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq jelas menunjukkan sikap professional Jabatan Amal Malaysia dalam memberikan pertolongan mahupun bantuan tanpa sempadan. Sikap professional tinggi yang dipamerkan Jabatan Amal Malaysia telah terbukti dalam pelbagai sudut selama ini, terbabit dalam banyak misi mencari dan menyelamat sama ada banjir dan tanah runtuh, keselamatan, kemalangan jalan raya, bantuan perubatan kecemasan dan banyak lagi operasi yang dijalankan sama ada bersendirian mahupun bersama agensi Kerajaan seperti Bomba dan PDRM.
PAS sentiasa mendidik terutamanya anak muda agar berakhlak mulia dan berbuat baik terhadap sesama manusia seperti yang diajar oleh Islam tanpa mengira pangkat, darjat mahupun kedudukan. Tarbiah dan akhlak yang dipupuk selama ini jelas membuahkan hasil yang membanggakan. Teruskan beramal, semoga Jabatan Amal Malaysia terus menyinar dan menjadi kebanggaan kita semua.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/2/2019