Calon BN paling awal ke pusat penamaan

- Advertisement -

HULU LANGAT: Calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi dan para pengiring adalah rombongan pertama tiba di pekarangan Pusat Penamaan Calon, Dewan Seri Cempaka MPKJ sekitar jam 8.40 pagi tadi.

- Advertisement -

Perarakan diselangi dengan laungan takbir dan selawat bergema di sepanjang satu kilometer perjalanan dari tapak pekarangan mereka berhimpun ke pusat penamaan calon.

Penyokong BN turut melaungkan seruan ‘Hidup BN’ bagi menyemarakkan lagi semangat mereka sepanjang perarakan.

Zakaria memasuki dewan pusat penamaan calon pada jam 9.00 pagi.

Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi diikuti Zakaria.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, masuk ke dalam dewan tiga minit kemudian.

Hingga setakat ini, suasana penamaan calon tenang malah polis turut menasihatkan para penyokong tidak melakukan sebarang provokasi dan kekacauan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK Dun Semenyih manakala tarikh mengundi awal pada 26 Feb.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Dun tersebut, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 16/2/2019

- Advertisement -