Mandat rakyat dikhianati MP tiada prinsip

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mandat rakyat terus dikhianati ahli politik setelah kepercayaan diberikan menerusi undi pada PRU14 lalu apabila bekas Ahli-ahli Parlimen Umno yang mengisytiharkan diri sebagai Bebas dua bulan lalu akhirnya sah menyertai Bersatu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara tersebut sudah dijangkakan kerana Ahli Parlimen terbabit telah bertindak membelakangkan prinsip perjuangan politik yang berintegriti.

“Mereka hanya memikirkan soal kuasa, pangkat dan perut. Mereka tiada rasa malu mensia-siakan undi rakyat. Kerana itu PAS pada PRU lalu menasihati rakyat supaya undi PAS untuk elak undi mereka disia-siakan seperti ini.

“Kerana kita menjangkakan perangai ahli-ahli politik seperti ini. Hari ini, semua itu telah terbukti. Saya yakin kalau BN yang membentuk kerajaan lepas PRU lalu, MP dari PH pula berlumba-lumba masuk Umno-BN.

“MP PH pun akan pergi kepada Umno-BN jika ditawarkan jawatan. Bahkan akan pijak-memijak kepala rakan untuk berebut jadi Menteri. Mereka tiada prinsip, sijil akademik pun boleh dipalsukan,” bidas beliau.

Semalam, bekas Ahli-ahli Parlimen yang sebelum ini mengisytiharkan diri keluar Umno kononnya sebagai Bebas akhirnya disahkan menyertai Bersatu pada satu majlis khas. – HARAKAHDAILY 14/2/2019

- Advertisement -