Desak siasat dakwaan DAP terima dana asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini susulan pendedahan mengenai dana politik yang diterima oleh DAP.

- Advertisement -

Laporan dibuat oleh Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Ubaid Abd Akla sekitar tengah hari tadi.

Menurut beliau, laporan polis dibuat sebagai mendesak kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan penerimaan dana luar dari Israel yang diterima oleh DAP sebagaimana didedahkan oleh bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman.

Ujarnya, Razali mendakwa DAP menerima RM300 juta daripada Israel.

Tambahnya, dakwaan Razali itu dikuatkan lagi dengan pendedahan oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining mengaku secara terbuka bahawa pihaknya telah memberi dana kepada Pakatan Harapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sebenarnya laporan mengenai hal ini pernah dibuat oleh beberapa individu sebelum ini, cuma kita bangkitkan semula selepas kenyataan oleh Presiden PAS semalam di Terengganu berkenaan siasatan dan aduan mengenainya.

“Kita bimbang hal ini akan menjadi semakin sulit dan menyalahi integiriti dan undang-undang yang mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

“Sebab sumber yang diterima ini daripada negara luar yang kami percaya pastinya mereka yang beri sumber tersebut mempunyai agenda tersendiri,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Turut hadir bersama beliau Setiausaha Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan Shahir Abu Hassan dan beberapa lagi pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Kata Ustaz Ubaid lagi, individu yang dimaksudkan telah membuat laporan polis yang mendesak kertas siasatan dibuka terhadap pendedahan ini ialah bekas ahli DAP, Razali, bekas pegawai TUDM, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff dan bekas Pengerusi SPRM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

“Kapten Abdul Rahmat membuat laporan polis terhadap pengasas Malaysiakini, Premesh Chandran juga merupakan Red Bean Army DAP dengan mendakwa menerima dana daripada Open Society Foundations (OSF) milik George Soros,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, semua pimpinan Dewan Pemuda PAS di seluruh negara hari ini tampil membuat laporan polis beramai-ramai mendesak siasatan dibuat oleh pihak berkuasa berhubung pendedahan dakwaan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/2/2019

- Advertisement -