Tolak penipu sijil akademik

palsu
- Advertisement -

PEMALSUAN sijil akademik merupakan akhlak yang buruk dan tiada integriti kerana sanggup menipu untuk mencapai tujuan dan matlamatnya. Pekerja yang menipu sijil akademiknya tidak boleh diterima apatah lagi menipu untuk dilantik sebagai pemimpin. Ia melibatkan integriti kerajaan dan menghilangkan kepercayaan rakyat. Tidak wajar sama sekali perkara ini berlaku.

- Advertisement -

Pemalsuan sijil akademik ialah suatu penipuan yang sebenarnya mencerminkan sikap tidak jujur dan tidak amanah. Penipuan ialah sikap. Kalau sudah biasa menipu dalam perkara yang melibatkan sijil, ia akan berlaku dalam perkara yang lain.

عَنْ الْحَسَنِ قَالَ عَادَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ الْمُزنِيَّ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ قَالَ مَعْقِلٌ إِنِّي مُحَدِّثُكَ حَدِيثًا سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ عَلِمْتُ أَنَّ لِي حَيَاةً مَا حَدَّثْتُكَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Diriwayatkan dari Al-Hasan: ‘Ubaidillah bin Ziyad pernah menjenguk Ma’qil bin Yasar Al-Muzanni pada waktu sakit menjelang wafatnya. Lalu Ma’qil berkata, “Aku akan menceritakan sebuah hadis yang aku dengar dari Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Kalau aku tahu bahawa aku masih akan hidup, tentu aku tidak mau menceritakannya kepada mu. Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Seseorang yang diberi amanat oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu mati ketika sedang menipu rakyatnya, maka Allah mengharamkan baginya syurga.” (Riwayat Muslim)

Pemalsuan sijil akademik bukanlah merupakan hal remeh dan kecil, tetapi ia adalah suatu jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Selain itu, Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan menyatakan bahawa “Barang siapa melakukan pemalsuan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”.

Rosaknya negara apabila pemimpin yang sedia ada kalangan yang tidak jujur. Sebab itu tidak pelik, jika rakyat pasca PRU14 ini berhadapan dengan penipuan demi penipuan. Dari sudut menunaikan manifesto sehingga kelayakan akademik yang ditonjolkan sewaktu berkempen.

Jika keadaan sebegini dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya maka ia akan meruntuhkan sebuah negara. Bayangkan jika pemimpin terdiri dari kalangan penipu, negara sudah pasti akan rosak dan memusnahkan kehidupan rakyat yang berada di bawah. Hal ini boleh diperingatkan dengan hadith Nabi SAW iaitu:

إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

“Apabila diserahkan urusan itu kepada bukan ahlinya yang layak maka nantikan kehancuran.” (Al-Bukhari)

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
12 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 12/2/2019

- Advertisement -